YAYASAN Bank Rakyat (YBR) mengambil inisiatif menyalurkan RM100,000 kepada pelajar isi rumah berpendapatan rendah (B40) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) menerusi Bantuan Awal Pengajian (BAP).
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, sebagai organisasi yang berusaha meningkatkan sosioekonomi negara melalui pendidikan, YBR sentiasa mencari ruang dan peluang membantu mereka yang memerlukan.
Kata beliau, bantuan yang diberikan YBR khususnya kepada golongan B40 dan asnaf untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik.
Menurut Syaiful Rizal, BAP hasil inisiatif YBR itu melibatkan 100 pelajar dalam kalangan keluarga B40 UTEM.
Beliau berkata, ia berdasarkan senarai yang telah dikenal pasti Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti berkenaan dengan setiap pelajar terpilih bakal menerima bantuan sebanyak RM1,000 setiap seorang.
“Semua pelajar yang menerima bantuan adalah dalam kalangan pelajar di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda bagi membantu meringankan beban kewangan ketika memasuki semester baharu.
“Saya percaya melalui bantuan seperti ini sedikit sebanyak menyuntik semangat serta motivasi pelajar yang kurang berkemampuan untuk terus mengorak langkah bagi mengubah nasib keluarga ke kehidupan yang lebih baik serta mencipta kejayaan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyerahkan BAP YBR dan perasmian ‘SIR Corner’ kepada pelajar serta perpustakaan UTEM.
Baca artikel berkaitan: 100 sukarelawan YBR gotong royong bersih Zoo Melaka

Replika cek BAP serta upacara gimik penyerahan telah disaksikan Naib Canselor UTEM, Prof. Ts Dr Massila Kamalrudin.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif; Timbalan Ketua Pustakawan, Siti Saluwa Jamal; Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pengurus Serambi Ilmu Rakyat (SIR), Zatul Hasanah Mohd Radzhuan.
Dalam majlis sama, YBR melalui Perpustakaan Digital SIR atau ‘SIR Corner’ telah menyumbangkan set kelengkapan kepada perpustakaan universiti tersebut supaya dapat memberikan manfaat kepada seluruh warga UTEM mendapatkan maklumat terkini serta bahan-bahan bacaan ilmiah secara digital.
Syaiful Rizal memaklumkan, ‘SIR Corner’ diharap dapat meningkatkan carian ilmu tanpa sempadan serta alternatif kepada pelajar mencari sumber rujukan dalam penghasilan tesis atau tugasan yang diberikan.
“Inisiatif SIR Corner ini menjadi salah satu medan pemerkasaan pendidikan dalam merealisasikan visi YBR yang berteraskan pendidikan serta menjadi kelebihan berbanding yayasan lain.
“Bagi tahun 2022, sebanyak 20 institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka telah terpilih menerima SIR Corner dengan jumlah peruntukan sebanyak RM300,000,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

