“AKU sedih kerana tak dibayar, susah-susah aku kerja,” demikian luahan hati Naomi Mora Emu sambil melinangkan air mata kecewa terhadap nasib yang menimpa.
Naomi, 28, merupakan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang merantau ke negara ini sebagai pembantu rumah kira-kira 11 tahun lalu demi mencari sesuap nasi.
Bayangkan pada usia belasan tahun, gadis cekal ini nekad meninggalkan keluarga dan kampung halaman di Nusa Tenggara Timur demi mengejar cita-cita mengubah hala kehidupannya.
Namun, semua itu kini tinggal harapan, ini selepas hak Naomi sebagai pekerja dinafikan oleh majikan dengan tidak membayar gaji walaupun sesen selama 10 tahun.

Sudah jatuh ditimpa tangga, beliau juga sering menjadi mangsa amarah majikan yang didakwa sebagai seorang yang ‘keras’ selain dilenjan bekerja selama 18 jam sehari.
Malah, beliau tidak diberikan bilik untuk berehat dan hanya dibenarkan untuk melepaskan lelah seharian bekerja di ruang tamu sahaja.
“Telefon keluarga pun tak ada, kena pukul, maki-maki dia tampar pipiku, tampar pipi maki-maki, marah-marah tapi dia kaya tapi penipu, dia orang keras memang keras.
“Dia kasi takut saya you keluar nanti polis tangkap, orang jahat tangkap macam begitu. Aku sedih kerana tak dibayar, susah-susah aku kerja, dia tipu saya,” katanya ketika ditemui UtusanTV, baru-baru ini.
Baca artikel lain: Nasib TKI: ‘Indonesia lihat perkara ini tajam di satu sisi saja, tidak di sisi lain’
Situasi ini menjadikan masa depan Naomi kabur seumpama tiada lagi harapan untuk pulang ke pangkuan keluarga sekali gus kembali menjalani kehidupan normal.
Namun tanpa disangka-sangka, datang seorang jiran dengan sikap kemanusiaan tinggi yang bersimpati dan bersedia menghulurkan bantuan.
Naomi berjaya meloloskan diri dengan bantuan tersebut sebelum mendapatkan perlindungan di Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia.
Tanpa membuang masa kedutaan dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah mengambil tindakan susulan terhadap kes ini namun malangnya pihak majikan enggan memberi kerjasama baik.

“Keluarga saya anggap saya sudah meninggal (kerana tidak berhubung selama 10 tahun), sudah satu tahun di sini (rumah perlindungan), tak dibayar sampai sekarang. Saya mahu pulang,” katanya lagi.
Ketika ini, Naomi menetap di rumah perlindungan Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia sambil menaruh harapan membawa pulang gaji yang berjumlah RM 114,512 untuk membina hidup baharu.
Apakah kes ini akan memihak kepada Naomi? Bagaimana pula dengan dakwaan majikan yang tidak mengaku pernah mengupah mangsa? Semoga ada sinar bahagia untuk Naomi di masa hadapan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

