MALAYSIA merupakan satu daripada negara yang telah menerima dana sumbangan daripada Qatar Fund for Development (QFFD) bagi menyelesaikan isu pelarian Rohingya.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), QFFD telah memberi sumbangan berjumlah USD50 juta (RM220 juta kadar tukaran semasa) yang dicerakinkan kepada tiga sektor: kesihatan, pendidikan dan tempat tinggal.
Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah menerima sumbangan tersebut.
Sebaliknya, jelas beliau, kesemua sumbangan dana itu diberi terus kepada Qatar Charity (QC) kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat, antaranya Mercy Malaysia, IMARET dan MRA.
Sumbangan dana dengan jumlah yang besar itu sememangnya diharapkan mampu membantu Malaysia untuk menyelesaikan kemelut isu etnik Rohingya.
Begitupun, sehingga kini, sumbangan dana tersebut dilihat seolah-olah tidak menghasilkan apa-apa kesan positif, malah isu etnik Rohingya dilihat semakin bercambah dari semasa ke semasa.
Perkara itu menurut Pengarah Eksekutif ASEAN Rohingya Center (ARC) Dr Helmi Ibrahim, akan memberi gambaran buruk terhadap Malaysia.
“Semasa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri dahulu, beliau telah menyatakan 10 cadangan untuk membantu etnik Rohingya di negara kita.
“Ada beberapa NGO yang mendapat peruntukan hasil daripada dana sumbangan QFFD tetapi kebanyakannya melakukan program berkenaan kesihatan sahaja. Itupun pelarian yang datang untuk dapatkan khidmat kesihatan dikenakan bayaran dan bukannya percuma. Padahal mereka mendapat dana dari Qatar.
“Sumbangan dana itu sepatutnya digunakan untuk banyak aspek. Ke mana duit sebanyak itu dibelanjakan?,” katannya kepada UtusanTV.
Mengulas mengenai langkah jangka masa panjang berhubung pelarian Rohingya dalam negara, Dr Helmi mencadangkan Kerajaan Perpaduan untuk menyegerakan proses meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jelas beliau, langkah itu perlu dilakukan memandangkan jika Malaysia tidak mempunyai kerjasama yang baik dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), bagaimana kemelut pelarian ini akan dapat diselesaikan.
Suatu ketika dahulu pada tahun 70an Malaysia menjadi hub pelarian Vietnam. Isu ini dapat diselesaikan kerana hubungan baik Malaysia dengan UNHCR. Kesemua mereka berjaya ditempatkan ke negara ketiga.
Katanya, jika Malaysia membuat ratifikasi, undang-undang dan mekanisma akan diwujudkan untuk membantu pelarian Rohingya dalam bidang kesihatan, pendidikan, latihan vokasional dan pekerjaan. Ini sekaligus membantu pertumbuhan ekonomi negara jika tenaga muda etnik ini boleh dijadikan tenaga kerja menyedari negara kekurangan tenaga kerja yang kronik.
Baca artikel berkaitan: Rohingya di Melaka: Bukan ‘anak emas’, sentiasa dalam pemantauan polis

Sehingga kini, Malaysia masih tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di Malaysia.
Dr Helmi berkata, usaha untuk meratifikasi konvensyen itu juga secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada beberapa sektor dalam negara.
“Sekiranya kita ada kerangka perundangan yang benarkan mereka (warga Rohingya) bekerja di Malaysia, sudah tentu ruang pekerjaan untuk mereka lebih luas.
“Sebagai contoh, jika dilihat, kita sebenarnya membazirkan banyak masa dan tenaga bagi membawa masuk buruh daripada luar negara. Kosnya juga sangat mahal.
“Saya cadangkan agar kita menggunakan tenaga kerja etnik Rohingya yang ada dalam negara. Kosnya lebih rendah kerana mereka sudah ada dalam negara, ada tempat tinggal dan faham bahasa Melayu. Majikan pula tidak perlu membayar kos yg tinggi membawa mereka masuk dan tidak perlu menyediakan tempat tinggal kerana mereka telah sedia ada di sini,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai isu etnik Rohingya yang berniaga tanpa lesen, Dr Helmi menyatakan bahawa kebanyakan yang berniaga di Pasar Borong Selayang adalah etnik Myanmar Buddha dan Myanmar Muslim dan bukannya Rohingya.
“Tapi banyak pihak yangg salah anggap dengan menuding seolah-oleh pasar tersebut dikuasai oleh Rohingya. Ini adalah suatu fitnah dan amat tidak betul. Mereka tidak kenal mana satu Myanmar, Bangla dan Rohingya. Maka nama Rohingya yang menjadi busuk,” katanya.
Menurut Dr Helmi lambakan warga asing berniaga di pasar borong adalah kerana warga tempatan yang menjadi ‘Ali Baba’ dalam isu tersebut. Mereka sewakan premis dan lesen kepada warga asing. Mustahil warga asing mendapat lesen berniaga jika tidak kerana amalan Ali Baba.
Dr Helmi berkata, ada dalam kalangan warga tempatan yang melihat etnik Rohingya ini sebagai ‘mesin ATM bergerak’ buat mereka. Golongan pelarian ini sering kali di “pow” oleh pelbagai pihak. Mereka menjadi mangsa kepada penganiayaan sebab mereka tidak dilindungi oleh undang-undang sebab status mereka sebagai pelarian tidak diiktiraf dari segi perundangan. Inilah sebab mengapa raktifikasi ini penting.
“Secara logik, mereka (etnik Rohingya) atau mana-mana warga asing tidak boleh berniaga tanpa lesen. Tapi ada warga tempatan yang ‘menyewakan’ lesen kepada mereka.
“Etnik Rohingya ini kini menjadi ‘sumber ekonomi gelap’ buat segelintir pihak. Kewujudan etnik Rohingya dan warga asing ini memberi manfaat kepada sesetengah pihak,” katanya.
Justeru itu beliau menyeru kerajaan agar mengambil langkah proaktif dalam wujudkan dasar tentang pelarian dan sekaligus menjadikan golongan ini tenaga kerja yang sah dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara yang kini sedang berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja yang kronik yang merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

