SEJAK bertahun lamanya, sayap Wanita UMNO amat sinonim dengan ‘tudung merah’ yang menjadi barisan hadapan parti itu.
‘Tudung merah’ itu bukan biasa-biasa kerana aura yang dibawa amat besar bahkan digeruni lawan.
Cakaplah apa sahaja program, Wanita UMNO akan turun beramai-ramai demi menarik sokongan rakyat.
Ke pelosok mana pun, kegigihan dan semangat juang dipamerkan ahli sayap itu dapat disaksikan dengan jelas.
Tanya sahaja kakak atau mak kita, Wanita UMNO lah yang bersungguh-sungguh membuat kerja demi parti itu tanpa mengharapkan satu sen pun balasan.
Tidak kira siang atau malam, ‘tudung merah’ itu tetap tersemat menggenggam teras Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat.
Maka, tidak hairanlah apabila Wanita UMNO digelar ‘tulang belakang’ parti itu memikul peranan dan tanggungjawab mencabar bagi menawarkan khidmat tanpa sempadan.
Namun begitu, entah kenapa aura ‘tudung merah’ itu dilihat sudah semakin luntur. Jentera Jalinan Rakyat yang dahulunya ‘ditakuti’ seolah-olah sudah hilang taringnya.
Apa yang berlaku kepada Wanita UMNO? Dahulu sayap itulah yang menjadi penggerak kepada setiap isu melibatkan golongan wanita.
Kini, isu yang sepatutnya dijuarai Wanita UMNO dilihat berlalu begitu sahaja. Kepemimpinan sayap itu seolah-olah tidak mengambil ‘pusing’ malah dilihat semakin lemah.
Baca artikel berkaitan: Shahrizat mampu kembalikan ‘taring’ Wanita UMNO
Bukan itu sahaja, tiada lagi tokoh-tokoh wanita yang mempunyai karisma mampu ditonjolkan sedangkan Wanita UMNO sering melahirkan ‘ibu-ibu’ bangsa yang dihormati semua pihak.
Ramai yang melihat pewaris mereka iaitu sayap Puteri UMNO pula lebih terkehadapan dalam menjadi lebih vokal dan memperjuangkan nasib wanita.
Justeru, apabila bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali menawarkan diri merebut jawatan itu, ia ibarat ‘pucuk dicita ulam mendatang’.
Kita tahu kepimpinan dan karisma dibawa bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pertama negara itu.
Siapa boleh lupa Wanita UMNO di bawah teraju Shahrizat selama sembilan tahun sebelum ini amat tersusun dari segi gerakan dan strategi menawan hati rakyat.
Bak kata Shahrizat dalam wawancara bersama beberapa media, “Saya mahu Wanita UMNO kembali bangkit seperti burung phoenix”.
Peluang ini perlu diguna ahli-ahli Wanita UMNO bagi memastikan barisan kepemimpinan sayap itu berubah, jika tidak pergerakan itu teruslah malap dan sepi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

