SEORANG pengarah sebuah syarikat agensi pelancongan didakwa di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas satu pertuduhan memperdayakan seorang warga emas berhubung pakej haji furada melibatkan kerugian berjumlah lebih RM20,000 empat tahun lalu.
Tertuduh, Nur Zaidani Akmal Abd Majid, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chai Guan Hock, pagi ini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih lagi bebas telah menipu seorang wanita warga emas berusia 69 tahun dengan memperdaya dan mendorong mangsa menyerahkan RM24,000 untuk mengerjakan haji furada dengan menggunakan pakej haji yang ditawarkan oleh syarikat miliknya, Hiddan Travel Sdn. Bhd.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah premis di Gombak antara 24 Jun 2019 sehingga 26 Jun 2019.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun selain sebat dan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Loh Xian Yee manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Khairul Amin Abdullah.
Terdahulu Xian Yee menawarkan agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun, Khairul Amin memohon jaminan minimum memandangkan jumlah jaminan yang ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya terlalu tinggi.
Selain itu, Khairul Amin dalam rayuannya turut memberitahu mahkamah bahawa terdapat sebahagian besar penyelesaian wang yang telah dibuat oleh tertuduh kepada mangsa.
Susulan itu, Majistret Guan Hock membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 10 Mei depan bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini media melaporkan sebanyak 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan setakat Ahad lalu membabitkan kerugaian lebih RM5.67 juta.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Saaduddin, berkata laporan yang diterima melibatkan 336 orang mangsa penipuan tiga syarikat pelancongan swasta setakat 31 Julai tahun lalu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

