MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan penyampai radio, Isma Halil Hamzah untuk membela diri bagi pertuduhan mengedar dadah dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Isma Halil, 49, pagi ini.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas menimbang keseluruhan keterangan saksi serta bukti lain, serta penghujahan bertulis dan lisan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan.
“Saya dapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie, mengemukakan bukti yang boleh dipercayai,” katanya.
Justeru, mahkamah memberikan tiga pilihan untuk tertuduh iaitu yang pertama, memberi kenyataan dengan mengangkat sumpah dari kandang saksi; kedua, memberikan keterangan tanpa mengangkat sumpah di dalam kandang tertuduh; dan ketiga, kekal berdiam diri.
Isma Halil yang berada di dalam kandang tertuduh kemudian memberitahu mahkamah dirinya memilih pilihan pertama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Muhamad manakala Ismahalil diwakili Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.
Susulan itu, Ahmad Zaharil memberitahu mahkamah pihaknya akan memanggil seramai empat saksi bagi prosing bela diri berkenaan.
Mahkamah menetapkan prosiding bela diri selama dua hari iaitu pada 30 dan 31 Mei depan.
Pada 21 Februari 2022, Isma Halil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan mengedar dadah selepas pengakuan direkodkan buat pertama kali.
Isma Halil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada pukul 5.35 petang, 27 Ogos 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

