PEMIMPIN-PEMIMPIN tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi ini bagi memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahamd Faizal Azumu; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Datuk Razali Idris; Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.
Menurut Razali, semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan turut hadir bagi memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu hari ini.
Razali turut menyifatkan situasi yang berlaku ketika ini adalah bermotifkan politik semata-mata dan untuk ‘membunuh’ karakter pemimpin Bersatu.
“Dulu di zaman Barisan Nasional (BN), mereka menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk tangkap tanpa bicara. Tapi Kerajaan MADANI ketika ini saya lihat mereka menggunakan SPRM untuk tangkap tanpa laporan,” katanya.
Baca lagi: Penyokong Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat SPRM
Semalam, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memaklumkan yang beliau diminta ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 11 pagi.
Difahamkan bekas Perdana Menteri itu akan didakwa di mahkamah, Jumaat ini berkait dengan tuduhan rasuah.
Desas-desus bahawa Muhyiddin akan didakwa hangat bertebaran sejak beberapa minggu lalu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lalu.
Wan Saiful didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Selepas itu, Bendahari Agung Bersatu, Datuk Salleh Bajuri turut ditahan SPRM pada 2 Februari lalu selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh Bersatu kepada pembekal dan vendor parti.
Muhyiddin sebelum itu mengatakan beliau telah pun dipanggil SPRM, namun bukan sebagai suspek.
Presiden Bersatu itu berkata, beliau hanya dipanggil SPRM bagi melengkapkan siasatan berhubung projek Jana Wibawa dan bukannya sebagai suspek dalam projek yang berkemungkinan terlibat salah guna kuasa itu.
Namun begitu, SPRM dilaporkan mengesahkan bahawa Muhyiddin merupakan antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

