DR Muhamad Akmal Saleh yang secara tidak rasmi memenangi perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO selepas meraih undian melepasi 96 undi untuk majoriti mudah bertekad meminda perlembagaan sayap itu untuk mengehadkan calon umur ketua pemuda kepada 40 tahun sahaja.
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Melaka itu menyifatkan kemenangan beliau yang sebelum dianggap sekadar ‘underdog’ atau bukan calon pilihan, menunjukkan akar umbi UMNO mahukan perubahan dalam parti.
“Kali ini, saya sebagai calon dari akar umbi diangkat ke peringkat kepimpinan parti, ini menunjukkan ahli UMNO mahukan perubahan dalam parti,” katanya di perkarangan Menara Dato Onn, di sini hari ini, lapor Berita Harian.
Ketika ini, UMNO tidak meletakkan had umur calon untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO peringkat nasional.
Dr Akmal, 34, pada soalan sama ada Pemuda UMNO akan lebih lantang bersuara menegur kepimpinan parti menjelaskan, sudah tentu teguran kepada kepimpinan parti perlu disertakan mengikut adab yang betul.
“Sudah tentu Pemuda akan menegur, yang betul tetap betul, yang salah akan diperbetulkan namun setiap teguran mestilah beradab dan kena caranya,” katanya.
Dr Akmal dilaporkan menang selesa dengan memperoleh 105 undian setakat 12 tengah malam ini.

