Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. GAMBAR: Abd Razak Aid

“SAYA sudah move on daripada episod itu.”

Itu kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyatakan sudah move on berhubung isu surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kepada UMNO.

Ia membabitkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti berkenaan.

Menurut Saifuddin Nasution, UMNO juga akan menghadapi pemilihan parti melibatkan jawatan Naib Presiden, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ketua-Ketua Bahagian, Sabtu ini.

“Mereka pun dah nak mengundi hari Sabtu (ini),” katanya dalam sidang media hari ini.

Baru-baru ini, Saifuddin Nasution memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

Baca artikel berkaitan: Isham bidas kenyataan Khairy berhubung isu surat tular RoS

Seksyen 13(1)(c)(iv) akta berkenaan pula memperuntukkan Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.

Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO yang dikatakan dipetik dalam surat RoS, memperuntukkan semua jawatan tertinggi UMNO, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden, perlu dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian setiap tiga tahun.

Keputusan itu mencetuskan perdebatan umum apabila terdapat satu surat dikeluarkan RoS berhubung pemilihan UMNO.

Surat itu menyatakan usul tambahan dalam PAU 2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sebagai tidak sah.

Dalam surat bertarikh 2 Mac itu, surat didakwa daripada RoS itu menyatakan bahawa usul tambahan berkenaan tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram