Menikmati kuih kole yang lembut dan mewah dengan rasa lemak manisnya ini mampu mengubat keinginan. Tambah menggoda dengan aroma harum dengan bau santan. Untuk mendapatkan kole kacang yang enak, adunan tepung perlu dikacau seperti memasak dodol dan apabila masak, ia tidak melekat pada kuali. Itu rahsianya.
KOLE KACANG
BAHAN
300 ml santan – dibuat tahi minyak
300 gm tepung kacang hijau
400 ml santan
1300 ml air
400 gm gula merah – cairkan
1 sudu kecil garam
1 ½ sudu besar minyak masak
CARA PENYEDIAAN

1.Campurkan tepung kacang hijau bersama garam dan curahkan santan sedikit demi sedikit. Sebatikan tepung supaya tidak berketul.

Kemudian masukkan air gula merah, adun hingga sebati.

2.Tambahkan air, kacau dan tapiskan ke dalam periuk. Masak adunan ini di atas api sederhana besar.

3.Kacau sentiasa adunan ini dan apabila hampir likat, masukkan minyak. Kacau lagi hingga benar-benar likat dan tidak berketul.

4.Setelah masak, tuangkan ke dalam loyang dan ratakan.

5.Akhir sekali taburkan tahi minyak dan sejukkan sebelum dipotong dan dihidangkan.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

