Penganggur mengaku tak bersalah buat hantaran jelik terhadap Sultan Johor

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran bersifat jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menerusi akaun Facebooknya, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Indera Mulia Ahmad, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan, pagi ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar membuat hantaran tersebut.

Hantaran yang dimuat naik menggunakan laman profil ‘Indera Mulia’ itu adalah dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada sekitar jam 10.29 pagi pada 21 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ngoh Jess Lynn mencadangkan tertuduh wang jaminan berjumlah RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang membuat sebarang hantaran mengenai kes tersebut sehingga perbicaraan selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam memohon jaminan rendah memandangkan baru berhenti kerja, tanggungan serta jumlah hutang yang banyak.

Mendengar rayuan itu, hakim Priscilla membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei depan bagi sebutan semula kes.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Landskap politik berubah jika Onn Hafiz bawa BN menang PRN Johor – Hassan Karim

LANDSKAP politik negara disifatkan bakal berubah sekiranya Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya membawa Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya...

More Articles Like This