MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Izralizam Sanusi selepas tertuduh didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella.
“Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dari tarikh sabitan dan bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dari tarikh sabitan.
“Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara serentak,” katanya.
Selain itu, Izralizam turut mengarahkan tertuduh menandatangani bon kelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman.
Dalam pada itu, hakim turut memerintahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam agregat yang disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan kesemua hukuman itu selepas menyifatkan tindakan tertuduh mengabai dan menganiaya Bella sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal dan emosi sebagai kejam.
“Bukan sahaja parut dalam dirinya, bahkan parut secara fizikal. Bella bukan sahaja diabaikan oleh tertuduh, malahan tertuduh juga dibuktikan terlibat dalam menganiaya Bella.
“Tindakan-tindakan yang dilakukan tertuduh terhadap Bella boleh dikatakan sebagai kejam, oleh itu perlu diberikan hukuman yang berat bagi memberikan peringatan kepada masyarakat di luar sana bahawa jenayah seperti ini tidak boleh dilakukan sama sekali,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

