MESKIPUN rumah tangga masih bergolak sejak 2021, madu kepada pelakon, Miera Leyana iaitu Adibah Abdul Mutalib,50, terus mengharapkan sinar untuk mempertahankan rumah tangga bersama suaminya, Rosland Othman.
Menurut Adibah, sebolehnya tidak mahu bercerai dan mengharapkan rumah tangganya kembali jernih.
“Saya yakin saya tidak bersalah. Jadi sebab itu saya tidak mahu bercerai. Talak memang terletak di tangan suami, tapi saya harap rumah tangga ini dapat diselamatkan. Kita tengok sahaja apa yang akan berlaku nanti,” ujarnya memetik laporan mStar ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur untuk pengurusan berkaitan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP).
Namun begitu, isteri pertama Rosland ini juga menyatakan suaminya sudah berkahwin dengan Miera pada Julai 2020 dan sejak itu tidak pernah pulang ke rumahnya.
Tambahnya, dia berasa dukacita apabila tiada penyelesaian yang dapat dibincangkan antara mereka sehinggakan perkara ini perlu dibawa ke mahkamah.
“Saya pun tidak tahu dia memfailkan cerai. Memang sedih selepas 28 tahun berkahwin akhirnya jadi begini.
“Saya harap dia akan dapat jalankan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak-anak. Namun antara kami berdua tidak pernah berhubung,” luahnya.
Rosland dikatakan mengambil anak keempat mereka, Nur Anisa, 12, tanpa pengetahuannya dan terus menetap bersama suami.
“Dia ambil anak dari sekolah pada Februari lalu dan sejak itu, anak kami terus tinggal bersama dia.
“Dia masih berstatus suami saya jadi saya tidak ada masalah untuk dia menjaga anak. Cuma saya harap dia akan terus jalankan tanggungjawab,” jelasnya.
Untuk rekod, Adibah dan Rosland berkahwin pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima orang cahaya mata manakala perkahwinan kali kedua Rosland pada 25 Julai 2020 dan mempunyai seorang anak perempuan pada Mei 2021.
Sumber: mStar