DUA lelaki tempatan yang terdesak mengurangkan hutang dengan along sanggup mengambil upah daripada along sama untuk mengugut peminjam lain dengan menyimbah cat dan membakar kereta mangsa.
Tidak cukup dengan itu, dua lelaki berkenaan turut mengajak dua wanita lain dipercayai teman wanita mereka untuk terlibat dalam perbuatan khianat tersebut.
Namun, kegiatan mereka membakar sekurang-kurangnya tiga buah kenderaan di Pulau Pinang membawa padah apabila akhirnya ditahan polis dalam serbuan berasingan di Ipoh, Perak pada 4 dan 6 Mei lalu.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, polis menerima aduan daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang memaklumkan kereta Perodua Kelisa milik anaknya dibakar pukul 4.20 pagi di Bukit Tengah, 30 April lalu.
Pada tarikh sama katanya, polis juga menerima dua lagi laporan yang membabitkan kejadian membakar kereta masing-masing jenis Perodua Kelisa dan Perodua Alza iaitu di Bukit Minyak dan Air Itam.
Katanya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang terlibat dalam kejadian itu menggunakan kereta jenis Toyota Yaris berwarna merah.
“Hasil risikan polis berjaya mengesan kedudukan kereta itu di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh dan ketika serbuan dilakukan pukul 12.05 tengah malam 4 Mei lalu, seorang lelaki dan teman wanitanya yang sedang tidur di dalam kereta itu telah ditahan.
“Hasil soal siasat ke atas mereka kemudiannya berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya, Ulu Kinta, Perak sebelum polis menahan seorang lagi suspek wanita di Kampung Simee, Ipoh, 6 Mei lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, polis mendapati dua suspek lelaki terbabit meminjam wang sekitar RM1,000 hingga RM2,000 daripada seorang along dari Singapura yang dikenali sebagai Tian.
Katanya, mereka melakukan jenayah itu sejak pertengahan Mac lalu dengan menumpukan kawasan utara iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang.
Selain itu katanya, mereka menerima arahan terus daripada along berkenaan untuk melakukan khianat kepada peminjam lain yang gagal membayar hutang dan diberi upah sebanyak RM700 melalui kaedah tambah nilai Touch N Go E-Wallet.
”Teman wanita suspek pertama didapati membantu suspek menyemak alamat penghutang dalam laman sesawang Google Maps, manakala seorang lagi wanita berperanan menguruskan hal sewa kereta dan mendapatkan peralatan cat untuk tujuan khianat,” katanya menurut WartaRakyat.
Sementara itu, Mohd. Shuhaily berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti kes-kes lain yang dilakukan sindiket terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951/ Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

