KERAJAAN bertindak menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan seorang penganut agama Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi tujuan pembelajaran.
Memetik laporan BH Online, keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dibuat pada 10 Mac 2021 yang membenarkan permohonan semakan kehakiman Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 18 April lalu.
Notis tersebut menyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan tidak berniat meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021.
Pada masa sama, KDN dan kerajaan juga memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.
Perkara itu disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan ketika dihubungi media hari ini dan menyatakan notis pemberhentian berkenaan sudah direkodkan Mahkamah Rayuan.
Baca artikel berkaitan: Guna kalimah ‘Allah’ dalam lirik, Jay Park mohon maaf
Sementara itu, peguam Annou Xavier yang mewakili Lawrence Bill berkata, berikutan notis pemberhentian berkenaan, keputusan yang dibuat mahkamah tinggi adalah kekal.
Dalam notis rayuan difailkan KDN dan kerajaan itu, menyatakan ia dibuat selepas tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Nor Bee Ariffin.
Dalam keputusannya, Nor Bee memutuskan kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran dan tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah “Kaabah’, Baitullah dan ‘solat’.
Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata arahan oleh KDN pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional.
Isu itu bermula 15 tahun lalu apabila Lawrence Bill memulakan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat (CD) yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.
CD berkenaan bertajuk ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’.
Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan CD tersebut serta memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram