KERAJAAN Kedah berharap siasatan terperinci dapat dilakukan berhubung kejadian satu pintu kawalan Ampang Jajar Sungai Muda terbuka tanpa sebarang amaran pada malam Sabtu lepas yang menyebabkan penurunan mendadak paras air Sungai Muda.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) juga diminta menubuhkan jawatankuasa siasatan sekiranya perlu serta mendedahkah hasil siasatan kepada umum.
“Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) khususnya NRECC patut ambil tindakan kepada pihak yang bertanggungjawab bertugas pada waktu itu (ketika kejadian). Sebab pihak SADA (Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd) telah memaklumkan melalui aplikasi ‘WhatsApp group’ yang mengendalikan baraj (pintu kawalan itu) pada pukul 10 malam keadaan semasa paras air yang menurun.
“Pukul 12 tengah malam (SADA) maklum lagi paras air semakin menurun, tetapi pukul 7 pagi (Ahad lepas) baru (pihak PLSM) tutup pintu berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.
Ampang Jajar Sungai Muda mempunyai 14 pintu kawalan yang akan dibuka dan ditutup mengikut keperluan untuk mengawal pelepasan air bagi kawalan banjir dan operasi air pasang surut.
BERITA BERKAITAN Bekalan air di Perlis mencukupi – MB
NRECC dalam satu kenyataan semalam dilaporkan sebagai berkata satu pintu kawalan yang telah terbuka tanpa amaran itu menyebabkan air Sungai Muda surut ke paras 0.67 meter berbanding 1.85 meter sebelum kejadian dan PLSM mengambil tindakan serta-merta menutup pintu air itu secara manual pada pukul 7.30 pagi, Ahad lepas.
Ahad lepas, Bernama melaporkan kira-kira 252,000 akaun pengguna di daerah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan penurunan mendadak paras air Sungai Muda.
Muhammad Sanusi berkata tujuh daripada 14 pintu kawalan ampang jajar itu rosak sepenuhnya dan tidak dapat berfungsi namun tidak menjejaskan keadaan paras air sungai berikutan ia tertutup manakala tujuh lagi masih boleh beroperasi dan pintu kawalan ke-14 terbuka tanpa amaran kerana berlaku gangguan teknikal pada sistem automasi kawalan (SCADA).
“Saya difahamkan untuk peruntukan bagi penukaran mesin baharu bagi mengawal pintu itu telah ada sebanyak RM8.5 juta,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin turut menyarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuka kertas siasatan segera berhubung kejadian itu yang dianggapnya sebagai kecuaian.
Selain itu, beliau berkata kejadian itu membuktikan kerajaan negeri dan kerajaan pusat perlu ada persefahaman dan hubungan baik serta membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak mampu menyelesaikan masalah secara ‘silo’.
“Pihak agensi berkaitan perlu tambah baik atau menukar sistem yang ada bagi mengelak malapetaka ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
— BERNAMA