MAJLIS Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI membabitkan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM6.3 juta dengan Kedah muncul negeri dengan kos tertinggi iaitu RM3.1 juta.
Bagaimanapun, kos bagi majlis dikendalikan Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu dianggap rendah jika dibandingkan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri tahun lalu di Seri Perdana, Putrajaya yang menelan belanja RM11 juta.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, rumah terbuka di Kedah adalah program peringkat kebangsaan yang turut membabitkan jemaah Menteri, perwakilan asing serta ketua Jabatan kerajaan.
Katanya, Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI Kedah mencatat kos tertinggi RM3.1 juta manakala Kelantan dan Terengganu masing-masing RM1.5 juta dengan perbelanjaan meliputi perkara seperti persiapan tempat, logistik dan jamuan.
“Jumlah kehadiran untuk program di Kedah adalah 25,000 orang manakala di Kelantan dan Terengganu masing-masing 15,000 pengunjung,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini menurut Berita Harian.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai jumlah perbelanjaan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri tahun lalu di Seri Perdana, Putrajaya menelas kos RM11 juta dihadiri 70,000 orang.
“Rumah Terbuka Malaysia MADANI membuka ruang lebih luas untuk membolehkan pemimpin kerajaan bertemu dan beramah mesra dengan rakyat di pelbagai lokasi,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama kementerian dan jabatan Persekutuan selain kerajaan negeri yang membolehkan kosnya dikurangkan, terutama dari segi sumber manusia serta keperluan logistik lain.
“Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia MADANI memberi peluang peniaga kecil tempatan menjana ekonomi sebagai penyedia perkhidmatan dan makan minum sepanjang majlis berlangsung.
“Kesan ekonomi ini juga dinikmati pengusaha hotel, pengangkutan dan peniaga lain yang berkaitan,” katanya.

