KEHILANGAN ibu dan bapa akibat kanser telah menjentik hati pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay untuk sentiasa mengambil berat mengenai kesihatan tubuh badannya.
Berazam akan sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun, Liyana,35, juga turut menjaga setiap pemakanan yang diambil setiap hari.
“Perkara yang menimpa ibu bapa menjadi pengajaran untuk saya memandangkan kedua-duanya meninggal dunia disebabkan kanser.
“Arwah bapa meninggal disebabkan kanser paru-paru, manakala arwah mama pula disebabkan barah otak. Makcik saya juga hidap kanser payudara. Jadi genetik saya memang berisiko untuk menghidap kanser.
“Selain perlu lakukan pemeriksaan kesihatan menyeluruh, saya juga kena menjaga pemakanan dan mengelak untuk mengambil makanan proses dan berlemak,” katanya kepada URTV.
Liyana berkata demikian ketika ditemui di sidang media Alter-Naratif terbitan Viu Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.
Dalam masa setahun lebihi, Liyana diduga dengan pemergian insan tersayang sekelip mata. Pun begitu, dia akur dan reda orang tuanya kini berada di tempat yang lebih baik.
“Saya baru sahaja kehilangan arwah mama pada 12 Mei lalu, 17 bulan selepas arwah bapa meninggalkan saya pada 2021.
“Tapi saya reda sebab tahu mereka berada di tempat yang lebih baik sekarang dan tidak lagi dalam kesakitan,” luahnya.
Jelas Liyana, keluarga lambat mengesan mengenai penyakit ibunya, Allahyarhamah Datin Habsah Simpon yang sudah pun berada pada tahap empat.
“Awalnya mama mengalami masalah penglihatan sejak tiga tahun lalu. Jadi saya ajak dia tinggal bersama-sama saya memandangkan rumahnya terlalu besar, susah untuk turun dan naik tangga.
“Sebelum mama menjalani pembedahan mata, kami sempat pergi bercuti. Selepas pembedahan, tiba-tiba mama jalan senget. Hasil pemeriksaan yang dilakukan akhirnya mendapati mama menghidap barah otak,” katanya dengan nada sayu.
Berkongsi momen terakhir bersama arwah ibu, Liyana sempat menyambut Aidilfitri baru-baru ini bersama keluarga tersayang.
“Tahun ini merupakan raya terakhir bersama mama. Tapi saya bersyukur dapat meraikannya bersama-sama.
“Saya pakaikan dia baju raya dan kami bergambar walaupun ketika itu mama sudah tidak boleh lagi bercakap,” jelasnya.
Terdahulu, ibu Liyana meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur selepas dua bulan disahkan menghidap barah otak pada usia 66 tahun.
Manakala, bapanya pula, Datuk Jasmay Md. Shah menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun akibat kanser paru-paru pada 17 Disember 2021.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

