PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan bahawa tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang melakukan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai kurang profesional.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, King Sing sewajarnya berbincang atau melaporkan terus kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, ini kerana Ahli Parlimen Bintulu itu tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan keselamatan negara.
Pada masa sama, Jais berkata, pihaknya berpendapat bahawa wujud maksud tersirat di sebalik kontroversi tindakan tersebut.
Katanya, walaupun terdapat dakwaan mengenai amalan rasuah yang serius melibatkan pegawai imigresen, tidak semestinya insiden itu mewakili keseluruhan situasi.
Sehubungan itu, Jais mendesak supaya King Sing memberi penjelasan lebih berasas dan bukan cuba mengalih perhatian rakyat dengan mempolitikkan isu rasuah di KLIA.
“Adakah tindakan ini dilakukan atas dasar politik negara atau mempunyai maklumat peribadi?
“Tanda soal ini perlu dijawab dengan lebih jelas agar rakyat dapat memahami niat sebenar sebelum rakyat membuat tafsiran liar bahawa tindakan tersebut bertujuan melindungi sesuatu jenayah lain.
“MCW juga ingin menegaskan sekiranya benar terdapat dakwaan mengenai permintaan suapan oleh pegawai Imigresen, perkara ini sepatutnya dilaporkan terus kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Baca artikel berkaitan: ‘Jangan merepek’, King Sing tuntut Akmal mohon maaf
“Ini adalah bidang kuasa SPRM dan lebih relevan melibatkan SPRM dalam proses untuk memastikan pengamatan lebih sahih, siasatan yang profesional dan tegas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Jais turut berpandangan bahawa King Sing seharusnya tidak campur tangan dalam urusan pegawai Imigresen.
Kata beliau, tugas pegawai Imigresen adalah untuk memeriksa kedatangan pelawat berdasarkan faktor keselamatan yang tidak boleh dikompromi.
Malah, Jais berkata, kehadiran King Sing di lokasi sama sebanyak tiga kali sebelum itu juga amat mencurigakan dan perlu disiasat polis.
“MCW juga ingin menegaskan bahawa kawasan tersebut dilindungi oleh Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (Akta 298) dan amat penting untuk memastikan keselamatan di lokasi tersebut terjamin.
“MCW berharap agar isu ini dapat ditangani secara bijak dan telus dengan memberi perhatian kepada semua aspek penting terutama penilaian terhadap kamera litar tertutup (CCTV) tempat kejadian dan keperluan penterjemah bahasa di kaunter Imigresen juga perlu diperhalusi.
“Justeru, MCW ingin menegaskan bahawa pentinganya menjaga integriti dan profesionalisme dalam menjalankan tugas oleh semua pihak yang berkaitan demi menjaga imej negara,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

