Kemasukan pelajar ke institusi pendidikan awam berasaskan prinsip meritokrasi

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan bahawa kemasukan pelajar ke institusi pendidikan awam adalah dibuat berasaskan prinsip meritokrasi.

KPT dalam kenyataan memaklumkan, ia termasuk Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi program pengajian peringkat Sijil, Asasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Menurut KPT, prinsip meritokrasi itu menyusun semua calon yang layak, tanpa mengira kaum, agama, jantina, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.

“Prinsip meritokrasi tersebut adalah berasaskan pencapaian akademik (90 peratus) dan pencapaian kokurikulum (10 peratus).

“Kejayaan mendapat tempat adalah bergantung kepada markah merit, memenuhi Syarat Am dan Syarat Khas program pengajian, perakuan temu duga dan ujian bagi yang memerlukan syarat berkenaan, kekosongan tempat dan keutamaan pilihan.

“Sebanyak 500 program pengajian telah ditawarkan bagi sesi kali ini dengan pecahan 143 Sijil, 47 Asasi, 309 Diploma dan 1 Ijazah Sarjana Muda,” jelas kenyataan tersebut.

Baca juga: PM akan bincang dengan KPT isu penganjuran konsert di IPTA

Mengulas lanjut, KPT memaklumkan, hanya calon yang mengemukakan permohonan UPUOnline di https://upu.mohe.gov.my/ sahaja telah dipertimbangkan.

Katanya, jumlah permohonan UPUOnline yang diterima bagi Lepasan SPM adalah sebanyak 239,609 berbanding 237,161 pada sesi lepas dengan jumlah kenaikan sebanyak 2,448 (1.03 peratus).

KPT memaklumkan, sejumlah 144,911 calon telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian dengan kadar kejayaan sebanyak 60.9 peratus.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 79,668 calon telah ditawarkan di UA manakala seramai 65,243 calon ditawarkan di Politeknik, KK dan ILKA yang menawarkan program pengajian berfokuskan TVET.

“Seramai 61,286 calon lelaki dan 83,625 calon perempuan telah berjaya mendapat tawaran. Kadar kejayaan lelaki adalah 61.7 peratus berbanding perempuan 60.4 peratus.

“Tawaran Laluan Khas secara keseluruhan adalah sebanyak 14,619 dengan pecahan tawaran iaitu 13,649 bagi Kategori B40, 346 Orang Kurang Upaya (OKU), 335 Atlet dan 289 Orang Asli. Selain itu, seramai 26 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapat tawaran,” jelas KPT.

KPT menambah, Calon Melayu, Anak Negeri Sabah, Anak Negeri Sarawak dan Orang Asli yang mendapat tawaran adalah seramai 130,819 (62.6 peratus) daripada jumlah calon yang layak iaitu 208,833.

Manakala, katanya, calon daripada kaum Cina yang mendapat tawaran adalah 5,477 (52.4 peratus) daripada jumlah yang layak iaitu 10,447 orang.

KPT berkata, bagi calon daripada kaum India dan lain-lain, bilangan calon yang mendapat tawaran adalah 8,615 (46.5 peratus) daripada jumlah calon yang layak iaitu 18,525.

Sementara itu, KPT memaklumkan, terdapat juga calon yang tidak mendapat tawaran kerana tidak memenuhi Syarat Am atau Syarat Khas program pengajian, tiada kekosongan tempat terutamanya untuk program kompetitif, gagal dalam saringan temu duga/ujian bagi program pengajian yang menetapkan syarat demikian, atau kedudukan merit rendah.

Katanya, terdapat seramai 164,028 daripada 403,637 calon yang menduduki SPM 2022 tidak memohon UPUOnline atas beberapa faktor seperti telah mendapat tawaran menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi BMKPM, IPGM, Tingkatan 6, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan luar negara atau mendapat tawaran biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya.

“Pihak Kementerian mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya.

“Kementerian kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari sahaja mulai 07 Julai 2023, jam 12.00 tengah hari hingga 16 Julai 2023, jam 5.00 petang,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

SAR Gunung Batu Putih: Tiada petunjuk baharu, penemuan barangan bukan milik Jaslinda

PENEMUAN beberapa barangan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49 disahkan bukan...

More Articles Like This