‘Alasan tak masuk akal, PDRM boleh tanya terus pengawal peribadi Sanusi’

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

ALASAN dikemukakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak dapat dihubungi sehingga membawa kepada penahanannya pada pukul 3 pagi disifatkan sangat pelik dan tidak masuk akal.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mempersoalkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut merasakan langkah itu sebagai tidak wajar.

Hamzah menegaskan, ini kerana Muhammad Sanusi mempunyai seorang pengawal peribadi yang juga merupakan anggota PDRM.

Malah, kata beliau, PDRM boleh sahaja menghubungi pengawal peribadi Muhammad Sanusi itu pada bila-bila masa.

Justeru, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mendakwa wujud ‘tangan ghaib’ yang mahu Muhammad Sanusi ditahan pada awal pagi kerana mahu memalukan pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu.

“Yang saya amat pelik sekali ialah beliau sebagai Menteri Besar mempunyai seorang pengawal peribadi daripada PDRM.

“Tidakkah sesuatu yang amat aneh apabila polis sendiri mengatakan mereka tak dapat menghubungi Muhammad Sanusi.

“Ini adalah jawapan yang tidak masuk akal sama sekali kerana polis mempunyai seorang (anggota) yang diletakkan di sebelah Menteri Besar untuk menjadi pengawal peribadi dan menjaga keselamatan beliau.

“(Polis) boleh tanya terus kepada pengawal peribadi di mana Muhammad Sanusi pada bila-bila masa.

“Saya merasakan ada tangan ghaib yang mengarahkan supaya Muhammad Sanusi ditangkap juga pada malam semalam kerana mereka nak memalukan seorang pemimpin besar dalam kalangan PN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook, malam tadi.

Mengulas lanjut, Hamzah turut mendakwa pernah berlaku kes seorang pemimpin ‘besar’ telah disabitkan atas salah guna kuasa dan dipenjarakan kerana mengarahkan pihak berkuasa untuk kepentingan peribadi.

Sehubungan itu, beliau berharap perkara itu tidak lagi berlaku kerana salah guna kuasa tidak boleh lagi dibenarkan dalam negara.

Baca artikel berkaitan: Pertuduhan Sanusi tiada kaitan dengan kerajaan

“Saya tidak menuduh, tapi oleh kerana perkara ini boleh berlaku dan pernah berlaku, dan tak mustahil ianya boleh berlaku sekali lagi.

“Saya amat kesal bila mendengar rakyat mula mempersoal apakah ada agensi-agensi kerajaan tertentu yang telah disalahgunakan untuk kepentingan beberapa pemimpin tertentu.

“Ingatlah jangan menzalimi mana-mana pemimpin. Janganlah kita menganiaya sesiapa pun dalam negara sama ada datang daripada PN atau pemimpin bukan PN.

“Yang penting jangan ada double standard. Kalau yang ini salah, yang lain juga salah. Jangan sesekali gunakan kuasa anda semata-mata untuk menangkap atau menakut-nakutkan pimpinan PN,” katanya.

Semalam, Razarudin dalam satu sidang media menjelaskan penahanan Muhammad Sanusi dibuat pada jam 3 pagi selepas beliau tidak menjawab panggilan telefon daripada polis sejak petang kelmarin untuk urusan pemakluman mengenai pertuduhan ke atasnya semalam.

Selain gagal dihubungi, Muhammad Sanusi juga gagal dikesan Polis Kedah, selepas Bukit Aman meminta bantuan kontinjen itu merakamkan percakapan bagi siasatan kes Akta Hasutan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Menurut Razarudin, pegawai penyiasat turut menghubungi Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politik kepada Muhammad Sanusi untuk proses pemakluman, namun turut tidak berjawab.

Muhammad Sanusi ditahan pada jam 3 pagi di sebuah hotel di Mont Kiara, Dutamas, pagi semalam oleh sepasukan polis dari USJT dan Bahagian Gengsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Beliau kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang untuk pertuduhan dua kes di bawah Akta Hasutan. Muhammad Sanusi juga bakal berhadapan satu lagi kes yang dilaporkan pada 14 Julai lalu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan Perpaduan tak bincang untuk adakan PRU lebih awal – Fahmi

KERAJAAN Perpaduan tidak pernah mengadakan sebarang bentuk perbincangan untuk mengadakan pilihan raya umum awal iaitu sebelum berakhirnya penggal Parlimen...

More Articles Like This