KERAJAAN Negeri Kedah mengambil inisiatif untuk melakukan pemberian bantuan khas kepada kakitangan awam di negeri tersebut sebanyak RM400 pada 14 September ini
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pemberian itu akan melibatkan seramai 5,600 kakitangan awam di negeri tersebut dengan peruntukan lebih RM2.08 juta.
Jelas beliau, pemberian bantuan khas itu selari dengan pemberian bantuan khas kepada kakitangan awam di peringkat Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita tidak umumkan perkara ini semasa tempoh berkempen kerana khuatir perkara ini akan menjadi sogokan pilihan raya. Jadi, kita umumkan selepas selesai pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Menteri Besar Kedah sempena meyuarat exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman hari ini.
Baca juga: Sanusi jawab isu MB dan exco pegang banyak portfolio
Sementara itu, mengulas mengenai hubungan antara exco-exco dengan para pegawai agensi-agensi Persekutuan, Muhammad Sanusi yakin semua pihak akan bersikap profesional dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Jelas beliau, satu pelarasan telah dibuat antara pengurusan Kerajaan Negeri Kedah dengan pengurusan Kerajaan Persekutuan di peringkat negeri.
“Saya rasa pertemuan itu akan menyelesaikan anggapan tersebut. Saya percaya semua pegawai agensi-agensi persekutuan bersikap profesional kerana mereka dilantik atas pelantikan pengurusan dan profesional,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu menegaskan, hubungan antara pemimpin Pas dan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berada dalam keadaan baik.
Jelas beliau, desas-desus mengenai pemimpin Bersatu tidak berpuas hati berhubung isu wakil mereka di dalam barisan exco juga telah diselesaikan
“Sepatutnya kena tanya mereka, bukan saya. Apapun hal itu tidak berbangkit lagi dan telah diselesaikan,” katanya.
Ditanya mengenai pendirian berhubung tema dan logo bagi sambutan hari kebangsaan 31 Ogos ini, Muhammad Sanusi menegaskan yang Kerajaan Negeri Kedah akan mengikut Kerajaan Persekutuan.
“Kita akan ikut Kerajaan Persekutuan seperti mana yang dilakukan Terengganu. Logo dan tema yang sama. Tidak perlu timbulkan perbalahan. Yang penting patriotisme,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

