POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menjalankan siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu ‘fatwa’ politik yang dikeluarkannya semasa berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Johor, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, setakat ini, dua laporan polis telah diterima berhubung kenyataan berbaur 3R (kaum, agama dan raja) yang dibuat bekas perdana menteri itu semasa satu ceramah di Kempas pada 2 September lepas.
“Temu janji rakaman percakapan dengan beliau mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah ditetapkan pada 11 Sept ini di pejabatnya di Bangunan MIDA di ibu negara oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhyiddin semasa ceramah PN didakwa menyifatkan tindakan mengundi bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan Kayat pada PRK Parlimen Pulai Sabtu ini sebagai haram.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, kertas siasatan melibatkan isu 3R berkaitan kenyataan dikeluarkan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyentuh institusi diraja dengan mempertikai kuasa lembaga pengampunan telah lengkap.
Katanya, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat
Beliau turut menasihati orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform itu sehingga menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” tambahnya.

