KETUA Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengumumkan beberapa pusingan kerja dan pelantikan baharu dalam pengurusan tertinggi perkhidmatan awam melibatkan pemindahan empat Ketua Setiausaha (KSU) kementerian ke penempatan baharu dan satu lantikan baharu KSU.
Mohd Zuki dalam kenyataan hari ini memaklumkan penempatan baharu itu berkuat kuasa esok.
KSU Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Dr Zaini Ujang berpindah sebagai KSU Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Isham Ishak berpindah sebagai KSU Kementerian Pertahanan manakala jawatan KSU Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bakal diisi Hairil Yahri Yaacob, yang kini Timbalan KSU MITI.
KSU Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Azman Mohd Yusof pula berpindah sebagai KSU Kementerian Perpaduan manakala KSU Kementerian Perpaduan Datuk Noridah Abdul Rahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan ini dan percaya dengan kemampuan pegawai-pegawai yang dilantik untuk terus memacu kecemerlangan kementeian dan agensi masing-masing dalam menjayakan agenda Malaysia MADANI,” kata Mohd Zuki.
Sementara itu, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin melakar sejarah menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam yang berkuat kuasa hari ini.
Anis Rizana, 54, sebelum ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan dan pelantikan itu adalah bagi menggantikan Datuk Zazuli Johan yang bersara.
Mohd Zuki yang mengumumkan pelantikan itu dalam berkata Anis Rizana berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan import eksport, penyelidikan dan pembangunan dasar, ekonomi, pengurusan dan kewangan.
“Pelantikan ini merupakan kali pertama bagi seorang penjawat awam wanita menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Saya percaya dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki, Anis Rizana mampu menerajui agensi yang amat penting dalam pengutipan hasil kerajaan dengan cemerlang ke arah mencapai visi Malaysia MADANI,” kata Mohd Zuki.
BERITA BERKAITAN KPM lancar garis panduan tangani kes buli, gangguan seksual
Anis Rizana telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Kewangan, Kementerian Kewangan pada 1994.
Beliau berkulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Western Michigan University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia.
Sementara itu, Mohd Zuki berkata pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Zazuli atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada perkhidmatan awam terutamanya sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah JKDM.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

