SEORANG lelaki yang tular di media sosial sejak Ahad lalu selepas membelasah seorang penghantar makanan dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini.
Video kejadian tekan link di bawah
Hukuman itu dijatuhi oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat selepas tertuduh, Mohd Faizul Nazri, 39 mengaku bersalah.
Lelaki itu juga dikenakan denda sebanyak RM2,000 dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh diarahkan dipenjara selama 2 bulan lagi.
Selepas menjatuhkan hukuman itu, Majistret Siti Zubaidah sempat memberikan nasihat agar tertuduh mengambil iktibar dari kejadian tular itu sehingga dia didakwa di mahkamah hari ini.
“Saya harap kamu ambil iktibar atas apa yang berlaku. Jangan ikut perasaan dan mahu tunjuk hebat.
“Orang buat salah sikit pun nak bagi (pukul atau belasah). Sudahnya kamu masuk mahkamah hari ini,” katanya.
Mendengar nasihat itu, pekerja bengkel yang berdiri sambil tertunduk di dalam kandang tertuduh sekadar menjawab “Ya, saya faham, puan,”

Baca artikel : Abang Saga pukul penunggang motosikal positif dadah
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa, Fakhrurazi Danial Fabilaf, 21, sehingga tulang rahangnya patah atau retak.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi jalan di hadapan lampu isyarat Jalan Langat-Klang menghala ke Klang, di sini sekitar jam 7.15 petang pada 1 Oktober lalu.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu peguam Nicholas Cheoh yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara dan denda yang minimum memandangkan isteri kepada anak guamnya itu sedang sarat mengandung cahaya mata mereka yang pertama.
“Mangsa di dalam kes ini ketika kejadian telah menunding jari tengah kepada tertuduh sehingga menyebabkan dia hilang pertimbangan.
“Usia kandungan isteri tertuduh kini sudah tujuh bulan. Tertuduh berharap boleh berada disisi isteri ketika melahirkan anak. Oleh itu, kami mohon hukuman penjara dan denda yang minimum,” kata peguam itu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Jannah Aimi memohon hukuman yang setimpal berbentuk pengajaran ke atas tertuduh.
“Satu video kejadian itu telah tular di media sosial dengan beberapa saksi mengatakan bahawa tertuduh telah bertindak tanpa belas kasihan terhadap mangsa.
“Mangsa di dalam kes ini mengalami retak di bahagian tulang rahang. Alasan yang dikemukan oleh pihak pembelaan tidak boleh memberi justifikasi terhadap tindakan tertuduh yang bertindak ganas.
“Oleh itu mohon hukuman yang setimpal bukan sahaja untuk memberikan pengajaran kepada tertuduh, malah kepada orang ramai di luar sana,” hujahnya.
Sebelum ini UtusanTV melaporkan, sebelum kejadian itu tercetus, mangsa mendakwa telah ditahan oleh sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki oleh tiga lelaki.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa yang menunggang Yamaha 135LC telah membunyikan hon pada kereta Proton Saga yang dinaiki tertuduh kerana memandu secara berbahaya dan hampir melanggarnya.
Mangsa dicekik, ditumbuk di muka, ditendang diperut dan kaki beberapa kali sebelum insiden itu dileraikan oleh orang awam.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

