PERIKATAN Nasional (PN) mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut supaya menyokong kerajaan sekiranya tidak mahu didakwa atas kesalahan rasuah.
Justeru, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengutuk keras tindakan kerajaan yang didakwa berterusan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi dan ugutan terhadap pemimpin pembangkang.
Beliau juga mempercayai intimidasi dan ugutan itu digunakan bagi mendapat sokongan supaya kerajaan kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.
Dakwa beliau, Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu telah dibawa bertemu seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara pada 1 Oktober lalu.
Katanya, Iskandar Dzulkarnain telah diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang telah pun disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.
“Sebelum itu, pada 26 September, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga telah didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara.
“Beliau telah ditekan dan didesak untuk menyokong Perdana Menteri serta dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat.
“Dalam pertemuan bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga kelihatan amat tertekan akibat intimidasi yang dikenakan terhadap beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata PN mengambil maklum ketetapan Mesyuarat Biro Politik Bersatu untuk memanggil Iskandar Dzulkarnain bagi mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Baca artikel berkaitan: Ahli Parlimen Kuala Kangsar sokong Anwar tapi masih setia dengan Bersatu
Pada masa sama, kata beliau, PN juga amat kesal atas kenyataan media yang dibuat secara terburu-buru oleh Iskandar Dzulkarnain.
“Kenyataan beliau dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeza dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti.
“PN mendesak Kerajaan Madani menghentikan tindakan salah guna kuasa dan intimidasi terhadap semua ahli Parlimen.
“Amalan seperti ini amat bertentangan dengan prinsip demokrasi yang diamalkan dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Semalam, Iskandar Dzulkarnain dalam kenyataan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha meringankan beban rakyat di Kuala Kangsar yang berhadapan peningkatan kos sara hidup.
Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu berkata beliau mahu melihat sama ada Perdana Menteri akan menepati janji berhubung peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata walaupun berdepan risiko tindakan tatatertib, namun beliau mengakui tidak tahan melihat Kuala Kangsar ketinggalan dan terabai hanya kerana perbezaan politik.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), November lalu, Iskandar Dzulkarnain mewakili PN berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Kangsar daripada Barisan Nasional selepas memperoleh 14,380 undi.
Beliau menewaskan calon BN, Datuk Maslin Sham Razman yang mendapat 10,814 undi serta calon Pakatan Harapan, Dr Ahmad Termizi Ramli (10,356 undi).
Seorang lagi calon mewakili Pejuang iaitu Dr Yusmalia Mohamad Yusof hilang deposit apabila menerima 204 undi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

