MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bakal dilantik selaku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu.
Beliau akan menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang memegang tampuk BAM itu sejak tahun 2017.
Perkara itu diumumkan BAM menerusi hantaran dalam laman Facebook, hari ini.
“Garis masa terperinci (pelantikan Tengku Zafrul) akan dibincangkan secara dalaman dan diumumkan pada mesyuarat Ahli Majlis BAM, Disember ini,” katanya.
Ogos lalu, Mohamad Norza membuat keputusan mengejutkan apabila mengesahkan akan meninggalkan badan induk badminton negara itu penghujung tahun ini.
Sebelum ini, beliau yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memaklumkan akan meninggalkan BAM selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024.
Beliau menjelaskan, keputusan itu juga tiada kena mengena dengan kemelut yang melanda BAM bersama bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM), Datuk Misbun Sidek yang ditamatkan kontrak lebih awal.
Baca artikel berkaitan: Norza tinggalkan BAM hujung tahun, sudah jumpa pengganti
Mohamad Norza mula memegang jawatan Presiden BAM menggantikan tempat Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff, enam tahun lalu.
Tengku Zafrul merupakan salah satu nama yang dikaitkan dengan jawatan tersebut sebelum ini di samping bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Selain Khairy dan Tengku Zafrul, turut digembar-gemburkan adalah bekas Timbalan Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Razali Ibrahim dan Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.
Malah, bekas legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei turut dicadangkan.
Sementara itu, BAM turut mengumumkan Jeffer Rosobin sebagai ketua jurulatih remaja kebangsaan selain Rexy Mainaky diangkat sebagai Pengarah Kejurulatihan baharu.
BERITA LANJUT MENYUSUL
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

