Tidak perlu beri peruntukan kepada ahli Parlimen yang mencerca, ingin tumbangkan kerajaan – Anwar

Dari Penulis

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kerajaan akan menyalurkan peruntukan kepada rakyat secara terus tetapi tidak akan memberikannya kepada ahli Parlimen pembangkang yang sering memaki dan juga berusaha menumbangkan kerajaan sedia ada.

Walaupun sebelum ini meminta pembangkang berunding bagaimana hendak mendapatkan peruntukan tersebut, Anwar hari ini menyatakan dengan jelas peruntukan tersebut tidak sepatutnya diberikan kepada pemimpin yang sering mencerca, memaki dan menuduh kerajaan dengan pelbagai dakwaan.

“Dikatakan kita menafikan hal wakil rakyat, elaun wakil rakyat kita tidak pernah singgung… saya sebut di Parlimen, peruntukan di kawasan PAS dan BERSATU kita teruskan.

“Projek masjid, perumahan semua kita lakukan, walau tidak salur kepada ahli Parlimen (pembangkang) tetapi salur kepada rakyat.

“Mengapa nak salur pada ahli Parlimen yang cerca kita, mahu menumbangkan, maki kita… siapa kita? Seperti mana yang disebut Saifuddin (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) tadi, kita dianggap orang yang mencabar Islam yang mengkhianati Melayu. Maka kamu (pembangkang) cari lainlah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Anwar menyangkal dakwaan kononnya beliau menyogok wakil-wakil rakyat pembangkang bagi menarik sokongan mereka terhadap kerajaan sekarang.

“Ahli-ahli Parlimen menyeberang, dia kata kita bagi sogokan, saya kata tiada, saya tak jumpa mereka sebelum mereka membuat keputusan.

“Bila dia minta nak jumpa, saya kata buat keputusan dulu, baru jumpa. Keputusan dia, dia tahu dasar kita, dia lihat perkembangan ekonomi dan negara ini,” katanya.

Anwar juga meminta pemimpin-pemimpin India dalam parti itu agar tidak mempunyai perasaan defensif apabila ada pemimpin parti India mempersoalkan tindakan kerajaan menjaga kebajikan kaum itu, kerana Malaysia merupakan negara pertama yang mahu menoktahkan kemiskinan tegar tanpa kecuali.

“Pemimpin-pemimpin parti politik India menjerit. Saya tanya masa mereka berkuasa, apakah mereka tidak terlibat dengan sakau-menyakau, mengambil harta rakyat. Saya harapkan rakan-rakan India tidak terikut-ikut,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata beliau mewajibkan semua kepimpinan PKR peringkat Pusat, Negeri serta Cabang supaya menjadi anggota dalam penubuhan Koperasi Keadilan Berhad (KIRA) sebelum akhir tahun ini.

“Saya tegaskan ini perlu kerana ia adalah satu ikhtiar yang baik, yang melangkaui agenda politik khusus, tetapi ekonomi rakyat. Koperasi ini saya sebut dua malam yang lepas, adalah kegiatan ekonomi yang mungkin menjadi ‘raksasa’ atau ‘gergasi’ jika ia dapat didukung oleh ramai kemudian diurus dengan baik.

“Sejarah koperasi negara kita ada gemilangnya tetapi masalahnya adalah pengurusan, jadi sebab itu dengan jaminan pengurusan yang baik, saya percaya kita akan sekali lagi menempa sejarah bagaimana koperasi boleh meningkat dalam masa singkat dan menjadi satu sukses dalam negara kita,” katanya.

KlRA yang didaftarkan secara rasmi di bawah Akta Koperasi 1993 pada 31 Januari 2023 dilancarkan Perdana Menteri awal tahun ini sekali gus menjadikan PKR parti pertama menjaga kebajikan ahlinya dengan memperkenalkan model perniagaan koperasi

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan kekal iktiraf kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

KERAJAAN Persekutuan kekal mengiktiraf kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah. Mengulas mengenai perkembangan...

More Articles Like This