SERAMAI 41 pekerja pembinaan di utara India yang terperangkap dalam sebuah terowong lebuh raya yang runtuh di negeri Uttarakhand di Himalaya akhirnya diselamatkan pasukan penyelamat selepas 17 hari.
Ini selepas pelombong berjaya menggerudi bahagian akhir runtuhan terdiri daripada serpihan batu, lumpur dan konrkit dengan tangan untuk mencapai kedudukan pekerja di terowong sepanjang 4.5 kilometer itu.
Mangsa kemudiannya dibawa keluar menggunakan pengusung beroda melalui paip selebar 90 sentimeter yang dibina sebelum mereka dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Ajaibnya tiada seorang pun yang cedera dalam kejadian itu.
Usaha tanpa henti pasukan penyelamat untuk membebaskan semua mangsa dari terowong Silkyara yang runtuh pada 12 November berakhir setelah pelbagai halangan berjaya diharungi.
Misi itu akhirnya selesai pada petang Selasa selepas pihak berkuasa menggunakan kepakaran pelombong khas yang dikenali sebagai “pelombong tikus” yang mula menggerudi sejak petang Isnin menggunakan tangan.
Presiden India Droupadi Murmu menulis di X berkata beliau “lega dan gembira” apabila dimaklumkan semua pekerja telah diselamatkan.
Beliau juga memuji usaha pasukan penyelamat, yang menurutnya menempuh halangan yang menjadi “bukti ketahanan manusia”.
Sementara itu pekerja disambut dengan sorakan gemuruh dan kalungan bunga ketika mereka keluar dari terowong.
Rakan-rakan, keluarga dan penduduk tempatan berkumpul di luar terowong, membakar mercun dan mengedarkan manisan.
Sejak awal usaha menyelamat, mereka yang berada di luar terowong itu berkomunikasi melalui walkie-talkie dengan pekerja terperangkap yang dibekalkan dengan oksigen, makanan dan air melalui paip sempit berasingan.
Sementara itu seorang penyelamat yang hanya mahu dikenali sebagai Devender berkata: “Pekerja yang terperangkap terlalu gembira apabila mereka melihat kami di dalam terowong. Ada yang meluru ke arah saya dan memeluk saya.”
Seorang lagi penyelamat yang hanya mahu dikenali sebagau Vakil berkata: “Kami telah memutuskan bahawa kami akan bekerja 24 jam tanpa henti dan tidak pergi sehingga kami membawa mereka semua keluar.”
Terowong itu adalah sebahagian daripada lebuh raya Char Dham bernilai $1.5 bilion, satu daripada projek bercita-cita tinggi Perdana Menteri Narendra Modi yang menghubungkan empat lokasi penganut Hindu melalui rangkaian jalan sepanjang 890 km.

