TIDAK timbul isu parti politik mana yang sepatutnya mengetuai Perikatan Nasional (PN) kerana keputusan dilaksana secara bersama.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti dilapor Malaysiakini, hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengakui Pas merupakan parti yang ‘lebih besar’ berbanding Bersatu dalam PN.
Beliau berkata, kesemua parti komponen dalam PN mengamalkan prinsip mencapai kesepakatan sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kita dalam PN, apa-apa yang kita (nak) putuskan, kita putuskan bersama.
“Walaupun dominasi pilihan raya (sejak) dulu pun PAS lebih besar daripada Bersatu, tapi kita berpakat.
“(Yang penting) siapa terajui kita setuju, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) mempengerusikan (PN) dan yang ini disetujui oleh Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang),” katanya.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka berkata, siapa yang menjadi ketua bukan satu isu yang perlu diperbesar-besarkan.
Malah, kata beliau, perkara itu terbukti apabila Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan selama 33 bulan sebelum ini.
Pada masa itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas sebagai parti yang memperoleh banyak kerusi, sepatutnya memperoleh jawatan sebagai salah seorang menteri kanan.
“Tidak ada isu siapa lead (mengetuai PN), bahkan sewaktu kami ada 18 undi (kerusi) parlimen, sepatutnya PAS dapat menteri kanan.
“Bagi kami tak apa (tak dapat jawatan menteri kanan), sebab yang penting kestabilan (dalam kerajaan),” katanya.
Baca artikel lain: Kit Siang patut nasihat UMNO ganti Presiden, bukan Pas – Takiyuddin
Ditanya mengenai kenyataan dibuat beberapa pimpinan PN yang mengambarkan seolah-olah rakyat sedia menukar kerajaan tanpa melalui proses pilihan raya, Tuan Ibrahim memberitahu, perkara itu memang tidak mustahil untuk berlaku.
Katanya, hal itu kerana ketika PH menjadi kerajaan selama 22 bulan mulai 2018 pun, ia boleh tumbang secara tiba-tiba.
“Saya melihat benda ini tidak mustahil berlaku… dulu 22 bulan tak ada ribut angin pun, tiba-tiba berlaku.
“Ini bermakna tidak mustahil berlaku apabila rakyat tengok kerajaan yang ada sekarang gagal, isu tak selesai, cakap semua OK, hebat cakap tapi pelaksanaan tak ada.
“Nilai duit kita makin jatuh, kos sara hidup meningkat tak boleh selesai,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

