Rakyat Malaysia diculik sebelum dibunuh di Filipina – Bukit Aman

Dari Penulis

SEORANG rakyat Malaysia yang bekerja di Manila, Filipina telah diculik sebelum dibunuh oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali pada 22 Okt lepas, yang meminta wang tebusan sebanyak RM330,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wang itu telah dibayar melalui aplikasi dompet kripto USDT namun pada 23 Okt, pihak berkuasa Filipina menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa di San Simon, Pampanga.

“Dalam laporan itu menyatakan deskripsi fizikal dan tatu yang terdapat pada mayat berkenaan adalah sama dengan deskripsi fizikal serta tatu mangsa penculikan,” katanya pada sidang media khas JSJK hari ini.

Susulan itu, JSJK telah menerima permohonan pada 9 Nov lepas daripada Pejabat Atase Polis Malawakil Manila untuk membantu analisis terhadap aliran transaksi ke dalam dompet kripto milik seorang suspek dalam kes ini.

Beliau berkata analisis yang dijalankan telah berjaya mengesan aliran transaksi mata wang kripto itu yang dipindahkan ke satu daripada exchange yang tidak didaftarkan di Malaysia. 

BERITA BERKAITAN Polis syak mungkin hanya seorang individu terlibat pembunuhan Zayn Rayyan

“Hasil maklumat yang diterima daripada exchange itu mendedahkan identiti enam suspek warga asing yang dipercayai dapat membantu dalam siasatan kes penculikan dan pembunuhan berkenaan. Kesemua maklumat itu diserahkan kepada Pejabat Atase Polai Malawakil Manila untuk siasatan selanjutnya, “ kata beliau.

Ramli juga berkata sebanyak 10 laporan polis diterima berkaitan pelaburan forex membabitkan nilai kerugian RM4.7 juta sejak 1 Nov lepas dan siasatan awal mendapati laman sesawang yang mengendalikan pelaburan tersebut dipercayai beroperasi di luar negara. 

“Mangsa dalam kes ini dijanjikan pulangan modal dan keuntungan bulanan sebanyak lima peratus dari nilai pelaburan. 

“Mangsa mendakwa yakin dengan pelan pelaburan tersebut setelah berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi Zoom,’’ katanya.

Beliau berkata pembayaran wang pelaburan dengan nilai RM437,253 hingga RM864,30 dibuat menerusi aplikasi Huobi dan berdasarkan analisis mata wang kripto, JSJK mengesan satu sindiket antarabangsa yang melakukan transaksi mencurigakan dengan nilai lebih RM1 bilion serta sedang mengambil tindakan susulan.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Farhash terus setia perjuangan reformasi, kekal bersama Anwar

DATUK Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak disifatkan antara pemimpin PKR yang terus setia dengan perjuangan reformasi ditampilkan parti...

More Articles Like This