NAMA jaguh muay thai sensasi negara, Johan ‘Jojo’ Ghazali semakin meniti di bibir peminat sukan mempertahankan diri itu.
Selepas kemenangan ‘mudah’ ke atas petarung Mexico, Edgar Tabares dalam tempoh hanya 36 saat, Sabtu lalu, Jojo kini disamakan dengan ‘legenda’ muay thai dari Thailand iaitu Rodtang ‘The Iron Man’ Jitmuangon.
Walaupun berbesar hati dengan dibandingkan dengan juara dunia ONE Flyweight muay thai itu, namun Johan berharap dapat membuka laluannya sendiri daripada mengikut jejak langkah Rodtang.
“Saya dapat banyak respons tentang perkara ini. Pada mulanya memang ‘cool‘, orang memanggil saya ‘Rodtang Melayu’. Memang ‘cool‘ apabila disebut setaraf dengan salah seorang idola saya.
“Tetapi saya tidak mahu dikenang sebagai ‘the next Rodtang’, Saya mahu dikenang sebagai ‘Jojo’ yang pertama, Johan Ghazali yang pertama.
“Jadi, saya bersyukur. Saya berbesar hati… bukan (bermaksud) berada pada tahap yang sama dengannya (Rodtang), tetapi disebut dengannya. Tetapi ya, saya mahu menjadi diri saya sendiri,” katanya seperti dipetik di laman onefc.com.
Walaupun ramai yang berharap Johan akan menentang Rodtang, tetapi remaja berusia 17 tahun itu tidak mahu tergesa-gesa menentang ‘raja’.
Sebaliknya, Jojo menyasarkan untuk terus meraih kemenangan menentang lawan-lawan lain yang juga mencabar.
“Sudah tentu, dalam masa beberapa tahun, siapa tahu? Saya mempunyai matlamat untuk bertarung dengan sesiapa dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, tetapi saya akan bergerak secara perlahan-lahan dan naik ke ranking. Saya tidak mahu terlalu cepat.
“Jadi ya, sesiapa sahaja boleh berada dalam senarai saya. Sesiapa yang menghiburkan, sesiapa yang kecoh, sudah tentu saya mahu lawan mereka,” katanya.
Baca artikel lain: Johan ‘Jojo’ Ghazali hanya perlukan 36 saat tumbangkan Edgar Tabares
Jojo juga terbuka untuk menentang mana-mana lawan dalam kategori flyweight.
Ketika ditanya secara spesifik, beliau menamakan petarung veteran Jepun, Taiki Naito dan petarung muda Thailand, Dedduanglek Tded99 yang masing-masing berada pada kedudukan ketiga dan keempat kategori flyweight muay thai.
Buat masa ini, beliau hanya mahu menghabiskan persekolahannya terlebih dahulu.
“Kalau ikutkan saya, minggu depan pun saya nak lawan. Tetapi saya perlu pulang. Saya perlu mendapatkan lesen memandu saya. Saya kena habiskan sekolah terlebih dahulu.
“Saya akan menamatkan persekolahan pada bulan Februari, jadi mungkin Mac (baru boleh lawan), saya tidak tahu.
“Apabila saya tamat sekolah nanti, saya akan kembali (bertarung) secepat mungkin,” katanya.
Sabtu lalu, Johan mencipta satu lagi sensasi apabila memerlukan hanya 36 saat untuk menumbangkan Edgar Tabares pada aksi Primetime US, ONE Championship.
Walaupun membuat penampilan sulung pada aksi Primetime US, namun Jojo tidak langsung menunjukkan rasa gentar.
Akhirnya, tumbukan padu Jojo atau nama sebenarnya Muhammad Johan Ghazali Zulfika ke arah muka Tabares yang juga juara Muay Thai Antarabangsa WBC menghasilkan knockout (KO) pada pusingan pertama.
Jojo yang mula beraksi di ONE Championship sejak Februari lalu, belum pernah mengalami kekalahan dalam kesemua lima pertarungannya.
Sebelum ini, Johan Ghazali menjadi peserta paling muda dalam sejarah berjaya mendapatkan kontrak siri ONE Championship bernilai AS$100,000.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

