UMNO masih lagi belum membuat keputusan sama ada untuk menjalinkan kerjasama dengan Parti Warisan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki seperti dilapor BH Online, hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, hasrat menjalinkan kerjasama itu hanya dinyatakan Presiden Warisan, Datuk Mohd Seri Shafie Apdal.
Malah, kata beliau, UMNO masih mempunyai banyak masa untuk membuat keputusan berhubung kerjasama dengan Warisan.
“PRN bukan mahu diadakan esok. Masih ada masa.
“Kita belum buat apa-apa keputusan dan tidak juga ada sebarang perbincangan,” katanya.
Semalam, Mohd Shafie selepas Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan keenam berkata, parti itu akan menjalin kerjasama dengan UMNO dalam PRN Sabah akan datang yang dipercayai diadakan tahun depan untuk menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Baca artikel lain: Warisan kerjasama dengan UMNO hadapi PRN Sabah
Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, perkara itu bukan mustahil dan pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjalin kerjasama dengan UMNO Sabah sekiranya ia untuk kepentingan rakyat negeri ini.
“Kita duduk semeja (berbincang) dengan mereka (UMNO Sabah) untuk kepentingan wilayah Sabah dan rakyatnya.
“Bagaimana ia dapat diterjemahkan untuk dijadikan kenyataan? Saya nyatakan kepada Bung bahawa kami di sini, kalau perlu kerjasama antara kita (WARISAN dan UMNO Sabah) ialah untuk kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang turut hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan turut memaklumkan pihaknya tiada halangan menjalin kerjasama dengan Warisan.
Katanya, walaupun setakat ini UMNO Sabah belum menjalin kerjasama secara rasmi dengan Warisan, beliau akui kepentingan kerjasama antara parti politik menghadapi PRN.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

