PENYANYI Shila Amzah berkongsi berita gembira bahawa dia kini sedang hamil hasil perkahwinan dengan pempengaruh, Ubaidillah Zulkefli atau Ubai.
Menurut Shila atau Nurshahila Amir Amzah,34, dia sebelum ini merahsiakan kehamilannya kerana mahu memastikan kandungannya ‘kuat’ dan baik.
“Saya nak pastikan proses awal kehamilan berjalan lanar terlebih dulu.
“Terima kasih kepada yang mendoakan kami sebelum ini.
“Doakan agar kandungan ini selamat dan dipermudahkan segala-galanya,” katanya.
Bagaimanapun, Shila tidak berkongsi usia kandungannya.
Sementara itu menjengah ke Instagram Ubai pula, dia menganggap tahun 2024 adalah lembaran baharu buat dirnya dan Shila.
“2023 meninggalkan peristiwa manis dan sedih yang banyak mengajar kami berdua. Tahun ini juga kami mengambil keputusan untuk berkhawin.
“Tahun lepas juga arwah adik pergi sebelum majlis pertunangan kami. Diikuti pula dengan pemergian arwah mak beberapa hari sebelum kami bernikah.
“Selesai cerita kami di tahun 2023. Dan di tahun 2024 ini kami ingin membukanya dengan satu perkhabaran (kehamilan),” kata Ubai menerusi hantaran video.
Sebelum ini, netizen mula membuat spekulasi mengenai kehamilan Shila selepas melihat perubahan fizikal penyanyi Patah Seribu itu yang seakan sedang berbadan dua.
Namun, Shila tidak pernah menafikan atau mengiyakan mengenai dakwaan tersebut.
Shila dan Ubai bernikah pada 5 Ogos lalu di Boathouse Ampang, di sini.
Shila sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun hubungan mereka berakhir dengan perceraian pada Februari 2022.
Hasil perkhawinan itu, Shila dan Haris memiliki seorang anak tunggal iaitu Seth Uwais yang kini berusia lima tahun.

