HAD maksimum insentif caruman padanan kerajaan bagi program i-Saraan telah dinaikkan kepada RM500 setahun mulai 1 Januari lalu berbanding RM300 sebelum ini.
Itu antara beberapa siri penambahbaikan strategik produk dan polisi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tahun ini yang memberi kesan terhadap memperkukuh masa depan persaraan dan jaminan pendapatan ahli.
KWSP dalam kenyataan memaklumkan, rakyat Malaysia berusia bawah 60 tahun yang berada dalam sektor tidak formal termasuk bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap serta mencarum secara sukarela di bawah program i-Saraan akan menerima insentif padanan sebanyak 15 peratus daripada caruman sukarela.
Menurut KWSP, insentif itu tertakluk kepada had insentif maksimum RM500 setahun.
Pada masa sama, KWSP memberitahu, kerajaan juga akan terus memberi insentif berkenaan kepada setiap peserta i-Saraan yang mencarum tertakluk kepada insentif seumur hidup maksimum RM5,000.
“Ini bertujuan untuk menggalakkan mereka terus menyimpan untuk persaraan dan membolehkan lebih ramai ahli mendapat manfaat daripada insentif kerajaan ini.
“Bagi setengah tahun pertama 2023, insentif kerajaan sebanyak RM28 juta telah dikreditkan kepada 211,361 ahli di bawah program i-Saraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, KWSP memberitahu, kerajaan juga akan memberi insentif caruman padanan sebanyak 50 peratus ke atas setiap RM1 sumbangan sukarela suri rumah berusia 55 tahun dan ke bawah serta berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih tertakluk kepada had insentif maksimum sebanyak RM300 setahun bagi program i-Suri.
Baca artikel lain: Pelantikan CEO KWSP baharu akan diputuskan segera – PM
Katanya, kerajaan juga akan terus memberi insentif berkenaan kepada setiap peserta i-Suri yang mencarum tertakluk kepada had insentif seumur hidup maksimum RM3,000.
“Bagi tahun 2023, insentif kerajaan sebanyak RM19 juta telah dikreditkan kepada 42,532 ahli di bawah program i-Suri.
“KWSP menggalakkan ahli untuk memanfaatkan program i-Saraan dan i-Suri bagi membina simpanan persaraan mereka di samping memastikan masa depan yang lebih terjamin dan sejahtera,” katanya.
Sementara itu, KWSP memaklumkan telah mengasingkan portfolio simpanan konvensional dan simpanan syariah yang berkaitan dengan pelaburan patuh syariah secara strategik bagi membolehkan pulangan setiap portfolio dioptimumkan dalam jangka masa panjang dengan alokasi aset strategik yang tersendiri bagi setiap portfolio.
KWSP menjelaskan, pihaknya telah berusaha ke arah pelaksanaan pengasingan itu sejak Belanjawan 2023 diumumkan bagi menyelaraskan mandat dan objektif strategik jangka panjang simpanan syariah.
“Ini juga merupakan langkah proaktif untuk memastikan aset di bawah simpanan syariah dan simpanan konvensional dipelbagaikan dengan baik merentasi kelas aset, pasaran, negara dan mata wang untuk pulangan yang mampan,” katanya.
Simpanan syariah telah diperkenalkan pada Januari 2017 sebagai pilihan kepada ahli yang mahukan simpanan KWSP mereka diurus dan dilaburkan mengikut prinsip syariah.
Sehingga 30 September 2023, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1,092.32 bilion dengan 39 peratus daripadanya merupakan aset syariah.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

