SUARA sumbang yang dilihat mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan jelas tidak menghormati institusi diraja.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, suara sumbang tersebut turut dilihat tidak menghormati kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, ia berhubung pemberian pengampunan kepada sesiapa sahaja atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Bahkan, Asyraf Wajdi berkata, perkara itu itu juga boleh menyebabkan seseorang individu itu boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.
Jelas beliau, tidak wajar bagi sesiapa pun mempertikaikan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong yang jelas diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Petang ini diadakan majlis perjumpaan khas Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dengan kepimpinan utama 191 UMNO bahagian-bahagian dan exco-exco Wanita; Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri.
“Perjumpaan tadi sebulat suara bersetuju dengan pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk meneruskan usaha untuk mendapatkan pembelaan ke atas Najib,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Isu Najib dijangka dibincang dalam perjumpaan khas tertutup ketua bahagian UMNO
Perkara 42 Perlembagaan melibatkan kuasa pengampunan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Selain itu, Perkara 42 turut menetapkan bahawa Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam Negerinya.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO melalui Pergerakan Pemudanya akan meneruskan laporan polis terhadap bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.
Menurut beliau, Tony Pua secara biadab memperkecil, meremeh dan mempermainkan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong bahkan secara jelas membelakangi Perlembagaan.
Terdahulu, suatu pertemuan khas tertutup diadakan Ahmad Zahid bersama 191 Ketua UMNO Bahagian di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
UtusanTV melaporkan Tony Pua akan dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada pukul 1 tengah hari esok bagi membantu siasatan susulan kenyataan yang didakwa menghina institusi diraja.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kenyataan Tony Pua yang didakwa menghina institusi diraja menerusi hantaran di Facebook.
Kenyataan itu bersifat menghasut orang ramai supaya membenci dan menghina institusi diraja berkenaan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasanya di bawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, Tony Pua yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara mengeluarkan kenyataan sinis dipercayai sebagai respons terhadap keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan Najib.
Kenyataan itu menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Dr Muhamad Akmal Saleh yang menegaskan pihaknya akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Pua yang didakwa mengeluarkan kenyataan biadab kepada Yang di-Pertuan Agong.
Jumaat lalu, hukuman dan denda yang dikenakan ke atas Najib telah diberikan pengurangan sebanyak 50 peratus.
Perkara itu diputuskan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu.
Lembaga Pengampunan dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu secara tidak langsung bermakna Najib akan dibebaskan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

