Kecuaian Bersatu lambat pinda perlembagaan makan diri, keputusan mungkin ambil masa

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KECUAIAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak segera meminda perlembagaan parti itu selepas penggubalan Akta Anti Lompat Parti akhirnya memakan diri sendiri.

Ini kerana proses keputusan bagi memastikan sekiranya enam ahli Parlimen Bersatu perlu mengosongkan kerusi masing-masing akan mengambil masa lama.

Malah, Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berpandangan kemungkinan besar perkara itu tidak memberi kelebihan kepada Bersatu.

Menurut beliau, terdapat beberapa isu termasuk adakah pindaan Perlembagaan Bersatu itu bersifat retrospektif yang pada akhirnya tidak akan mengubah apa-apa.

Mazlan berkata, sekiranya Pendaftar Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan berkenaan pun, kesemua enam ahli Parlimen tersebut boleh memohon untuk semakan kehakiman yang sudah tentu memakan masa lebih lama.

“Saya jangkakan enam ahli Parlimen itu sudah tentu tidak akan meletakkan jawatan dan membiarkan mahkamah menentukan nasib mereka.

“Jadi, saya merasakan ini merupakan kecuaian Bersatu untuk tidak membuat tindakan segera seperti yang dilakukan parti-parti politik lain yang pada akhirnya memakan diri mereka,” katanya kepada UtusanTV hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan turut menjangkakan pilihan raya kecil (PRK) di enam kerusi tersebut tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana terlalu banyak kekaburan susulan pindaan dilakukan Bersatu.

Namun begitu, beliau berkata, jika PRK diadakan sekali pun, ia bukanlah bermakna Bersatu boleh mempertahankan kesemua enam kerusi Parlimen berkenaan.

Baca artikel lain: BN sedia letak calon jika enam kerusi Bersatu dikosongkan – Ahmad Zahid

“Jika dilihat ada tempat yang Bersatu boleh menang seperti di Gua Musang dan Jeli di mana pengaruh Pas mungkin besar di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, di empat lagi kawasan iaitu Kuala Kangsar, Tanjong Karang, Labuan dan Bukit Gantang, gabungan Kerajaan Perpaduan dilihat mempunyai kelebihan,” katanya.

Kelmarin, Bersatu telah melakukan pindaan terhadap perlembagaan parti, mana-mana ahli yang merupakan wakil rakyat, melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi, disifatkan terhenti keahliannya secara serta-merta.

Susulan itu, Setiausaha Agung di atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi, perlu mengeluarkan notis kepada ahli berkenaan untuk memaklumkan penamatan keahlian secara serta-merta.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, pindaan perlembagaan parti itu akan memberi kesan kepada kedudukan enam ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, tidak timbul soal pindaan bersifat retrospektif kerana mereka masih lagi ahli parti dan tidak pernah disingkirkan.

Katanya, sekiranya pindaan diluluskan dan berkuat kuasa maka keahlian keenam-enam mereka akan terhenti dengan automatik sekali gus menyebabkan kekosongan enam kerusi Parlimen.

Sebagai rekod, enam ahli Parlimen Bersatu telah mengisytiharkan sokongan masing-masing terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam ahli Parlimen tersebut adalah Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim; Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

UMNO berhak tentukan hala tuju sendiri menjelang pilihan raya – Asyraf Wajdi

UMNO menegaskan parti itu mempunyai hak mutlak untuk menentukan pendirian dan hala tuju politiknya sendiri menjelang mana-mana pilihan raya,...

More Articles Like This