BANGKAI helikopter jenis AW139 milik Agensi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor, pagi semalam telah berjaya dibawa keluar daripada lokasi kejadian tengah malam tadi.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin memaklumkan, bangkai helikopter tersebut berjaya dibawa naik dengan bantuan pihak syarikat penyelenggaraan pesawat udara APMM kira-kira pukul 12.15 tengah malam.
Menurut Hamid, pesawat tersebut kemudiannya dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang dan ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada pukul 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.
Pada masa sama, beliau berkata, empat kru yang terlibat dalam insiden tersebut dilaporkan stabil dan selamat.
“Kesemua mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak APMM semalam.
“APMM turut memohon kesemua kru terbabit diberikan ruang dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak bagi tujuan menstabilkan keadaan setelah melalui kejadian semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hamid memberitahu, helikopter dengan nombor pendaftaran M72-01 itu merupakan salah satu daripada tiga siri pesawat udara AW139 yang diletakkan di bawah Skuadron Phoenix iaitu Bahagian Operasi Udara APMM yang telah diterima pada tahun 2010.
Beliau berkata, helikopter tersebut yang mencatatkan rekod hampir 5,000 jam penerbangan telah melaksanakan pelbagai misi penerbangan operasi seperti Op Naga, Op Kuda Laut, Op Pagar Laut, Op Benteng, Op Jangkar Haram, Op Patkor Optima, Op Redback dan operasi penguatkuasaan lain.
Selain itu, pesawat berkenaan banyak terlibat dengan pelbagai misi operasi mencari dan menyelamat yang dikoordinasikan APMM.

Baca artikel lain: Bangkai helikopter APMM dijangka dibawa keluar petang ini
Antara pencapaian AW139 M72-01 sepanjang melakukan penugasan termasuk menyelamatkan lima orang pemancing yang terkandas akibat cuaca buruk di Pulau Batu Berantai di barat laut Pantai Remis, Jeram pada tahun 2022.
“AW139 M72-01 juga merupakan pesawat yang sering membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi melakukan force boarding dan terbaharu ialah kejayaan dalam membantu Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) bagi menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia tahun lalu.
“Selain kejayaan tersebut, sepanjang 14 tahun perkhidmatan AW139 M72-01 bersama APMM, pesawat berkenaan turut terlibat dengan beberapa siri pemindahan perubatan (MADEVAC) mangsa sama ada di pulau atau di pelantar minyak yang berada di perairan negara,” katanya.
Semalam, APMM mengesahkan helikopter jenis AW139 milik agensi itu melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Selangor pada 9.55 pagi namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Pesawat yang diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria turut disertai Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

