KADAR zakat fitrah di Selangor bagi Ramadan tahun ini ditetapkan pada RM7, RM14 dan RM21 seorang mengikut jenis beras yang di makan.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penetapan itu berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Selangor pada kadar timbangan satu gantang bersamaan 2.6 kilogram.
Menurut kenyataan itu kadar zakat fitrah RM7 ditetapkan untuk pengguna beras Super Special Tempatan lima peratus dan ia merupakan kadar wajib minimum sebagaimana diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
“Kadar RM14 pula adalah bagi pengguna beras Super Import, beras perang, beras pulut, Herba Ponni dan beras wangi, manakala kadar RM21 untuk umat Islam yang memakan beras jenis basmati, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya.
“Kadar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah diperkenalkan oleh LZS sejak 2018 lagi,” menurut kenyataan itu.
Baca artikel lain: Kadar zakat fitrah di Perak ditetapkan RM8, RM16 dan RM24
Menurut LZS bagi memudahkan umat Islam di negeri itu menunaikan bukan sahaja zakat fitrah pelbagai platform pembayaran telah disediakan seperti EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my, perbankan Internet, portal MyEg dan Pos Online serta aplikasi e-dompet iaitu MAE, Tounch N Go, Selangkah, GoPayz dan Boost.
Kenyataan itu memaklumkan LZS turut melantik 2,778 penolong amil di seluruh Selangor bagi memudahkan orang Islam menunaikan zakat fitrah dan mereka dinasihatkan agar membayar zakat fitrah hanya kepada amil dilantik oleh lembaga itu yang dibekalkan kad tauliah serta sijil lantikan yang sah.
Menurut kenyataan itu LZS turut menyediakan ‘Zakat On Wheels’ di lokasi strategik seperti di masjid, bazar Ramadan, pasar tani, pasar raya dan sebagainya di sekitar negeri ini bagi memudahkan umat Islam yang memerlukan perkhidmatan lembaga itu.
“Semua 18 cawangan LZS di seluruh Selangor juga akan dibuka tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan bagi memudahkan masyarakat menunaikan zakat fitrah dan harta,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

