KERJASAMA Malaysia dan Vietnam dalam bidang pertanian berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran tunggal, seterusnya meningkatkan keupayaan menghadapi sebarang gangguan bekalan global pada masa hadapan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau telah mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi ke Hanoi, Vietnam pada 23 April lalu.
Jelasnya, lawatan bertujuan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian, sekali gus menjadi langkah strategik dalam memperkukuh hubungan sektor pertanian dan agromakanan antara kedua-dua negara.
“Lawatan ini turut membawa implikasi penting kepada usaha memperkukuh sekuriti makanan negara.
“Kerjasama strategik ini dijangka membuka ruang kepada perkongsian teknologi, pemindahan kepakaran, serta jaminan akses kepada sumber makanan yang lebih stabil dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Usaha tingkatkan akses pasaran bagi produk Malaysia
Mohamad berkata, lawatan merupakan pertemuan sulung beliau dengan Menteri Pertanian dan Alam Sekitar Vietnam, Trịnh Việt Hùng.
“Sesi pertemuan tersebut memberikan penekanan khusus mengenai usaha meningkatkan akses pasaran bagi produk-produk Malaysia ke Vietnam.
“YB Menteri turut memaklumkan kepentingan pembangunan sektor perikanan mampan dengan memberi tumpuan kepada akuakultur sebagai bidang Kerjasama strategik.
“Kerjasama ini dilihat berpotensi meletakkan Malaysia dan Vietnam sebagai peneraju di rantau ASEAN dalam mempromosikan amalan perikanan yang lestari,” katanya lagi.
Malaysia prihatin terhadap cabaran keterjaminan makanan dunia
Dalam konteks global, Mohamad berkata, Malaysia menyatakan keprihatinan terhadap cabaran keterjaminan makanan dunia yang semakin meruncing akibat konflik antarabangsa, perubahan iklim dan ketidakstabilan ekonomi.
Sehubungan itu, katanya Malaysia berpandangan bahawa kerjasama dengan Vietnam mampu membantu mendepani cabaran ini melalui pemodenan pertanian serta transformasi digital dalam rantaian bekalan makanan.
“Sebagai sebahagian daripada agenda keterjaminan makanan negara, Malaysia melihat Vietnam sebagai rakan strategik utama selaku pengeksport terbesar beras ke Malaysia.
“Kami berharap agar kerjasama erat yang sedia terjalin dapat terus menjamin harga beras yang kompetitif dan stabil bagi keperluan pasaran tempatan,” katanya.
Hubungan perdagangan antara Malaysia dan Vietnam mencatatkan nilai RM12.64 bilion bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, meliputi eksport produk makanan, manakala import dari Vietnam termasuk kopi, koko, rempah serta barangan makanan diproses.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

