KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menasihatkan supaya semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan buat sementara waktu di lokasi dengan status cuaca panas Tahap 1 iaitu suhu maksimum harian melebihi 35 darjah Celcius hingga 37 darjah Celcius.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) boleh bertindak antaranya menutup institusi pendidikan jika cuaca bertukar kepada status gelombang haba.
Menurut Dr Muhammad Radzi, murid-murid sekolah merupakan antara golongan yang berisiko tinggi mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas.
Jelas beliau, ia disebabkan faktor fisiologi dan faktor kurang pengambilan air.
“Sekiranya status cuaca bertukar kepada status gelombang haba, tindakan selanjutnya boleh diambil oleh pihak KPM sebagaimana Pelan Tindakan Bagi Menangani Gelombang Haba 2016.
“Ia juga terkandung dalam Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Akibat Gelombang Haba 2021 yang dikeluarkan KKM dan Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan di bawah KPM semasa cuaca panas yang dikeluarkan pada 18 April 2023,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Baca artikel lain: Pokok Sena, Perlis paling panas, bacaan suhu Tahap 2 – MetMalaysia
Dalam pada itu, KKM turut menasihati ibu bapa supaya memastikan anak-anak untuk mengambil air secukupnya.
Bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadan, Dr Muhammad Radzi menasihatkan supaya meminum air dengan mencukupi ketika bersahur dan waktu berbuka.
“Awasi tahap hidrasi dan kesihatan anak-anak sepanjang berpuasa.
“Pendedahan kepada cuaca panas dengan berpanjangan boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik,” katanya.
Kenyataan itu merujuk status cuaca panas yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam, membabitkan Perlis yang mengalami gelombang haba dengan suhu maksimum harian di negeri itu melebihi 37 darjah Celsius sejak 19 Mac lalu.
Cuaca panas Tahap 1 pula direkodkan di sebahagian besar Kedah meliputi Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Sik dan Baling.
Beberapa kawasan di Perak termasuklah Hulu Perak dan Kuala Kangsar turut mengalami cuaca panas Tahap 1.
Cuaca panas Tahap 1 merujuk suhu maksimum harian melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius.
MET Malaysia juga menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius masih berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung dan Sabah hingga bulan depan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

