‘Parallel Pathway’ bencana dalam sektor kesihatan awam?

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

BIDANG perubatan merupakan antara tunjang utama dalam sektor perkhidmatan dalam negara yang menyaksikan kerajaan memperuntuk RM41.2 bilion untuk Kementerian Kesihatan bagi Belanjawan 2024, berbanding RM36.3 bilion tahun sebelumnya.

Tunjang kepada bidang perubatan pula tertumpu kepada jumlah pegawai perubatan dan jururawat yang perlu ditempatkan di sesebuah kemudahan kesihatan, khasnya hospital dan klinik kesihatan kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini memaklumkan, seramai 8,522 pakar perubatan merangkumi 29 bidang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan sehingga Februari 2024.

Berdasarkan jumlah yang disebut Dr Dzulkefly, jumlah itu tidak mencukupi untuk merawat 80 peratus daripada 33.2 juta penduduk terutama dalam kala­ngan golongan berpendapatan rendah B40.

Lantaran itu, pelbagai usaha perlu dibuat untuk memperluaskan perkhidmatan kepakaran di fasiliti kerajaan bagi menampung keperluan rakyat dalam negara.

Tidak dinafikan, KKM dibawah teraju Dr Dzulkefly telah mengambil beberapa inisiatif untuk meningkatkan bilangan pakar perubatan pelbagai bidang.

Antaranya, menurut Dr Dzulkefly adalah dengan meningkatkan peluang latihan kepakaran perubatan supaya lebih ramai doktor pakar dihasilkan melalui Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway (PP) di KKM yang menawarkan 600 slot tajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad GAMBAR: Abd Razak Aid

Untuk rekod, pada ketika ini, program PP dijalankan melalui institusi KKM dan persatuan-persatuan perubatan seperti Kesatuan Pakar Pakar Pembedahan Jantung di Malaysia (MATCVS).

Begitupun, timbul pula persoalan mengenai kualiti dan kredibiliti program PP, yang didakwa bakal membawa bencana kepada sektor kesihatan awam dalam negara oleh sesetengah pihak.

Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah berkata, antara isu utama bahayanya program PP itu adalah kerana ia tidak didaftarkan mengikut kerangka undang-undang di Malaysia.

Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (LPU UiTM) itu berkata, PP merupakan program komersial dari kolej kolej yang berpengkalan di UK dan Australia.

Beliau menegaskan, program PP itu bukan saja tidak diiktiraf sebagai kelayakan bagi membolehkan seorang didaftarkan sebagai pakar di negara asal, malah tidak dikawal selia oleh badan regulatori di negara asal mahu pun di Malaysia.

“Macam mana kita nak terima? Saya rasa pihak kementerian tidak diberi penerangan yang sebenar, banyak fakta mungkin tidak diberi atau pihak kementerian ditipu hingga sanggup untuk meminda akta tidak berapa lama lagi.

“Banyak kepincangan dalam perjalanan dan aktiviti pendidikan PP tidak mengikuti peraturan, tatacara perundangan dan standard piawaian di Malaysia.

“Justifikasi memulakan dan ingin menghalalkan program-program luar negara yang tidak diiktiraf ini adalah tidak tepat dan mengelirukan,” tegas beliau kepada UtusanTV

Terdahulu, Dr Dzulkefly dalam kenyataan pada 2 April lalu memaklumkan, KKM akan membawa cadangan kepada Kabinet agar pelatih program PP boleh didaftarkan sebagai pakar di bawah Akta 50.

Katanya, beliau berharap pindaan akta itu dapat dilakukan pada Jun depan berikutan kekurangan doktor pakar yang mendesak.

“Dengan itu, tertakluk kepada keputusan lanjut Jemaah Menteri bagi cadangan pindaan Akta 50 berkenaan program PP, KKM memberi sepenuh komitmen bahawa pelatih daripada program PP yang telah menyelesaikan program tersebut dengan jayanya akan dijadikan berhak didaftarkan sebagai pakar di bawah Akta 50,” menurut kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut mengenai program PP, Dr Ibrahim Shah berkata, program PP jika diteruskan dikhuatiri akan mengakibatkan pakar-pakar perubatan di Malaysia tidak berkualiti, tidak selamat dan tidak kompeten.

Tegas beliau, perkara itu berbeza jika dibandingkan dengan pakar-pakar yang lahir dari program pendidikan kepakaran universiti tempatan yang melalui proses jaminan kualiti dan mengikut undang undang Malaysia.

Hal itu pada pandangan beliau kerana program PP yang bersifat komersial adalah terlalu mudah dan lebih bersifat keuntungan semata.

“Program ini adalah satu program komersil. Untuk mendapatkan (kelulusan) dalam program ini, it’s very simple.

“Tidak seperti institut pengajian tinggi awam (IPTA) kita, prosesnya panjang. Kita nak jadi pakar, nak bedah orang. Kita tidak mahu negara kita mempunyai pakar-pakar yang tidak ada kemahiran dalam kepakaran,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ibrahim Shah menambah, kebergantungan terhadap institusi dari negara luar dalam menghasilkan tenaga pakar buat negara memberi gambaran Malaysia lemah, tiada jati diri dan mundur.

Jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti Singapura dan Australia, kedua-dua negara itu menurut beliau tidak mengamalkan budaya kebergantungan terhadap institusi luar seperti Malaysia.

“Mereka mempunyai jati diri yang kuat. Saya pelik Malaysia melakukan perkara ini dan bahkan, cuba menghalalkan (program PP) melalui pindaan Akta 50,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Lelaki pukul bekas isteri di luar balai polis ditahan

SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki memukul bekas isterinya dalam sebuah kereta di luar Balai Polis Bandar Baru Bangi, Kajang,...

More Articles Like This