PELAKON Ruhainies berkongsi bahawa dia menyedari kesilapannya dan memilih untuk memaafkan semua yang mengkritiknya berikutan kontroversi yang sedang hangat diperkatakan oleh orang ramai.
Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas,31, menyatakan sebagai manusia biasa dia juga mempunyai kekurangan, justeru dia memilih untuk menjadi pemaaf.
“Saya juga ada salah saya. Tidak ada sesiapa yang sempurna. Saya sedia memaafkan sesiapa saja. Insha-Allah.
“Kita manusia tidak boleh lari dari buat kesilapan. Saya juga tidak sempurna, sudah tentu saya maafkan,” tulisnya di Instagram Story.
Selain itu, ada juga pengikutnya yang meminta Ruhainies memaafkan semua rakyat Malaysia yang telah mengutuknya.
Malah, mereka menyatakan bahawa tidak ingin kutukan yang dilemparkan menjadi penyebab mereka diseksa di akhirat kelak.
“Maafkan semua rakyat Malaysia yang mengata awak hal ini termasuk saya. Penat akhirat esok nak tagih.
“Saya pun minta maaf juga pernah terjebak mengutuk, jangan tagih saya di akhirat ya,” tulis netizen berkenaan.
Dalam pada itu, pelakon drama Terjerat itu juga menitipkan doa agar aibnya dan pengikutnya dipelihara oleh Allah SWT.
“Kadang-kadang kita dipandang baik bukanlah kerana kita benar benar baik tetapi kerana kasih sayang Allah yang menutup aib kita.
“Saya doakan Allah memelihara dan menutup aib kita semua. InshaAllah,” ujarnya.
Sebelum ini, Aliff Aziz dan Ruhainies dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 9 Mac lalu.
Susulan itu, isteri Aliff iaitu Bella Astillah memfailkan cerai secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pasa 13 Mac lalu.
Walau bagaimanapun, sebutan pertama kes cerai itu terpaksa ditangguhkan disebabkan Aliff tidak hadir kerana terikat dengan penggambaran drama Terjerat.
Pada 4 April yang lalu, Aliff enggan melafazkan cerai atas alasan masih ada rasa sayang terhadap Bella di hadapan
hakim dan mahkamah telah menetapkan 4 Jun depan sebagai tarikh bagi laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Isu di antara mereka semakin rumit apabila Sarah Yasmine mendedahkan dirinya sebagai kekasih gelap Aliff sejak Januari dan pelbagai tangkap layar perbualan WhatsApp telah didedahkan, dipercayai perbualan tersebut antara Aliff dan wanita yang dinamakan NRF.
Turut menjadi bualan ramai apabila beberapa selebriti yang lain juga dikaitkan antaranya Emma Maembong, Chacha Maembong, Caprice, Sophia Albarakbah dan Meerqeen.
Seterusnya, Ruhainies telah memilih untuk membuat permohonan maaf secara terbuka serta berhasrat untuk berjumpa Sarah dan Bella.
Namun, Sarah memberitahu dalam satu kenyataan dirinya enggan berjumpa kerana bengang sudah dua kali ditipu oleh Ruhainies.

