MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bagi dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja Sindrom Down, Bella.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas menolak rayuan Siti Bainun, 32, selaku perayu bagi mengetepikan sabitan bersalah ke atasnya atas dua pertuduhan itu.
“Isu-isu yang ditimbulkan perayu dan pembelaan perayu gagal menimbulkan keraguan munasabah.
“Mahkamah ini mendapati bahawa tiada sebab yang mewajarkan untuk mengusik dapatan-dapatan yang telah dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen dan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan ke atas perayu adalah selamat dan dikekalkan.
“Oleh yang demikian, rayuan perayu adalah ditolak,” kata hakim itu.
Noorin dalam penghakimannya berkata bahawa mahkamah mendapati Siti Bainun tidak terkeliru dengan pertuduhan-pertuduhan terhadapnya sehingga menyebabkan dia tidak berupaya untuk membela diri.
“Keseluruhan prosiding iatu melalui keterangan-keterangan yang dikemukakan dan pemeriksaan-pemeriksaan balas yang panjang terhadap saksi pendakwaan menzahirkan bahawa perayu tahu, tidak terkeliru dan faham bahawa pertuduhan- pertuduhan terhadapnya adalah pengabaian dan penganiayaan yang telah dilakukan olehnya secara fizikal dan emosi terhadap mangsa,” katanya.
Selain itu menurut beliau, mahkamah turut mendapati bahawa tidak berlaku prejudis terhadap Siti Bainun samada sebelum perbicaraan bermula dan selepas Hakim Mahkamah Sesyen meminda pertuduhan kedua terhadap perayu di akhir kes pendakwaan.
Katanya lagi, tidak terdapat kekhilafan di pihak Hakim Mahkamah Sesyen di dalam dapatannya bahawa pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap kes mereka.
“18 kecederaan dan parut di badan mangsa telah dibuktikan oleh kesemua saksi-saksi pegawai perubatan bahawa kecederaan-kecederaan tersebut adalah disyaki kecederaan bukan kemalangan (non accidental injuries) dan bukan kecederaan dilakukan secara kendiri (self inflicted injuries).
“Mahkamah ini mendapati penilaian secara maksimum telah dilakukan oleh Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana terhadap keterangan saksi mata, SP5 yang mana keterangannya disokong oleh semua saksi perubatan yang merupakan saksi pakar yang telah memeriksa mangsa.
“Mahkamah ini mendapati bahawa berdasarkan keseluruhan keterangan-keterangan yang dikemukakan menjuruskan kepada perayu dan perayu sahajalah orang yang tekah menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi mangsa,” katanya lagi.
Sebelum ini pada 3 Mei tahun lalu, UtusanTV melaporkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Izralizam Sanusi Izraliza menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun selepas mendapati Siti Bainun bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella yang berusia 13 tahun ketika kejadian.
Baca: Abai, aniaya Bella: Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada Februari hingga Jun 2021.
Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun.
Bagaimanapun Hakim Izralizam mengarahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Selain itu, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

