KEAHLIAN Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilaporkan tergugur secara automatik.
Perkara tersebut disahkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti dilapor Free Malaysia Today (FMT), hari ini.
Menurut laporan tersebut, keahlian Zulkafperi dan Abdul Rashid dalam Bersatu terhenti secara automatik selepas menyertai kempen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu.
Justeru, Hamzah menegaskan, kedua-dua pemimpin itu perlu mengosongkan kerusi Parlimen dan DUN masing-masing bagi membolehkan PRK diadakan.
Beliau berkata, surat status keahlian Zulkafperi dan Abdul Rashid akan diserahkan selepas pengesahan dilakukan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu minggu depan.
“Dua wakil rakyat Bersatu berceramah di pentas PH dalam kempen KKB, kalau ikut perlembagaan kita (Bersatu) secara automatik (keahlian) mereka ini terhenti.
“Mereka terhenti menjadi ahli maka dalam akta (lompat parti) telah diluluskan, kawasan mereka juga terpaksa dia lepaskan,” katanya selepas menghadiri ceramah Perikatan Nasional (PN) di Bandar Utama Batang Kali malam tadi.
Baca artikel lain: Tujuh wakil rakyat Bersatu terima notis pengosongan kerusi lepas PRK KKB
Mengulas lanjut, Hamzah memaklumkan parti itu juga telah membuat keputusan membabitkan keahlian Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman.
Malam tadi, FMT melaporkan Zulkafperi dalam ceramah PH di Ampang Pecah menyeru pengundi DUN Kuala Kubu Baharu menyokong calon kerajaan perpaduan Pang Sock Tao, dengan berkongsi pengalaman beliau berkhidmat tanpa dana.
Wakil rakyat pengggal pertama itu berkata, bukan mudah menjadi Ahli Parlimen apabila tidak banyak yang dapat beliau lakukan untuk kawasannya selaku pembangkang kerana tidak mendapat peruntukan.
“Selama setahun saya dapat kecaman rakyat Tanjong Karang, tak berfungsi sebagai Ahli Parlimen, kenapa tak boleh lakukan apa-apa,” katanya.
Selain Zulkafperi dan Suhaili, empat lagi ahli Parlimen yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Mac lalu, Abdul Rashid pula menyatakan sokongan kepada pentadbiran kerajaan perpaduan Selangor diketuai Menteri Besar Amirudin Shari.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

