YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memulakan lawatan rasmi lima hari ke Jepun dengan melawat dua entiti berkaitan teknologi dan penyelidikan pertanian, hari ini.
Johari dan delegasi Malaysia mengunjungi National Agriculture and Food Research Organization (NARO) di ibu pejabatnya di Tsukuba, Ibaraki dan mengadakan pertemuan dengan Presiden NARO, Dr Kazuo Kyuma bersama pasukannya.
Ketika pertemuan itu, Johari menyatakan hasrat Malaysia untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan pertanian negara menerusi kerjasama dengan teknologi Jepun.
Beliau berkata, Malaysia ingin mempelajari amalan terbaik dari Jepun dalam bidang pertanian, di samping meningkatkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.
“Saya berminat dengan inisiatif NARO dalam mempromosikan aktiviti kolaboratif dan berkongsi maklumat untuk membantu komuniti antarabangsa menghasilkan lebih banyak makanan sebagai tindak balas kepada kekurangan yang mungkin berlaku.
Baca artikel lain: Polis siasat pengasuh tarik rambut, picit hidung kanak-kanak sehingga cedera
“Kami berharap dapat belajar banyak perkara daripada anda dan mungkin, apabila kami menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, sudah pasti kami akan cuba menggalakkan negara ASEAN lain untuk datang dan belajar dengan anda supaya dapat manfaat daripada pencapaian anda,” katanya pada pertemuan itu.
Ketika lawatan itu, Johari juga diberi taklimat mengenai pembangunan dan pandangan masa hadapan pertanian pintar oleh Institute of Agricultural Machinery, NARO serta pembangunan sistem pengurusan air baharu menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) oleh Institute for Rural Engineering (NIRE), NARO.
Johari turut menyaksikan demonstrasi robot traktor dengan sistem pemantauan jarak jauh, yang bertujuan mencapai penjimatan tenaga buruh dan meningkatkan skala pengeluaran pertanian.
Pada lawatan tiga jam itu, delegasi Malaysia dibawa ke Japan International Research Center for Agricultural Sciences (JIRCAS) dan diberi taklimat mengenai projek penyelidikan kerjasama di Malaysia, termasuk penanaman semula kelapa sawit secara mampan melalui inovasi saintifik dan teknologi.
Johari juga membincangkan potensi ubi kayu sebagai makanan alternatif kepada beras, mengambil kira khasiatnya dan sebagai penyelesaian kepada kekurangan beras tempatan.
Johari mengetuai delegasi Parlimen Malaysia ke Jepun yang merupakan undangan Speaker Dewan Perwakilan negara itu Fukushiro Nukaga.
– BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

