PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tidak wajar bagi sesetengah pihak mengaitkan harga minyak semasa dan penyasaran subsidi diesel dengan ucapannya ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), pada tahun 2008.
Ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, Perdana Menteri menegaskan, kenyataannya ketika itu terkait harga minyak yang tinggi di negara ini berbanding negara-negara pengeluar minyak lain.
“Itu yang dikaitkan ketika ini (soal) naikkan harga minyak. (Mereka kata) padahal dulu Anwar janji hari ini menang, esok (harga) minyak turun. Itu yang diulang.
“Itu saya sebut tahun 2008. (Memang) betul kerana pada masa itu harga minyak kita tinggi ketimbang negara-negara pengeluar minyak terutama Arab Saudi iaitu sekitar 50 sen manakala kita sekitar RM1.80.
“Sekarang kita RM2.05 sen. Arab Saudi RM2.95 sen. minyak murah ini hanya di Brunei. Kos dah bertambah. Bagaimana anda boleh kaitkan kos pada tahun 2008 dengan 2024. Ini asas ekonomi,” katanya.
Mengulas mengenai subsidi diesel yang dilaksana kerajaan, Anwar menyifatkan langkah tersebut sudah dibincangkan sejak 25 tahun lalu.
Bagaimanapun, kata beliau, dasar berkenaan tidak dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan ketika itu kerana penyasaran subsidi tidak mudah dilakukan apatah lagi terkait dengan soal survival politik.
“Dasar (penyasaran subsidi) baik. Semua Perdana Menteri dari dulu setuju mesti ada penyasaran subsidi. Malah dibincangkan semasa saya jadi Menteri Kewangan dulu.
“Lebih 25 tahun yang lalu sudah dibincangkan perlunya penyasaran subsidi, tapi tak upaya dilakukan kerana tak mudah. Biasanya pemimpin politik ini dia fikir kesan kepada pimpinan.
Baca artikel lain: Simpan resit belian diesel jika belum dapat kad fleet – Anthony Loke
“Apa pun kalau tarik subsidi atau naikkan cukai memang membebankan dari segi pandangan politik,” jelasnya.
Perdana Menteri menjelaskan, dasar yang dilakukan itu adalah baik kepada negara kerana diberikan kepada golongan yang layak sahaja.
“Dalam pertimbangan kita (kerajaan), kita sudah buat keputusan yang baik iaitu sementara kita harus bantu rakyat majoriti, kita tak seharusnya beri subsidi kepada golongan maha kaya, industri besar dan orang asing.
“Bukan diskriminasi kepada orang asing kerana orang asing tak bayar cukai, cukai levi yang sangat kecil,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kenyataan pembangkang terutama dari Pas juga memperlihatkan bahawa dasar yang dilakukan itu sememangnya baik kepada negara.
“Selain parti dalam Kerajaan Perpaduan, setakat ini nampak kenyataan dari pimpinan Pas agak lunak, tidak menentang hanya memantau, tiada masalah kerana pembangkang harus pantau pelaksanaan dan kita juga harus pantau.
“Oleh itu, kita harus faham bahawa langkah sebaiknya ialah memberi bantuan kepada yang berhak. Jadi (subsidi) diesel bagi nelayan, pekebun kecil, pengangkutan awam, bas sekolah, pekebun sayur itu diteruskan.
“(Yang) ditarik subsidi, bukan dinaikkan harga. Ditarik subsidi bantuan kepada golongan maha kaya dan orang asing,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

