“SAYA tengok harga sayur-sayuran seperti timun, cili, sawi juga naik. Adakah golongan maha kaya saja makan sayur. Orang miskin tak makan sayur?.”
Demikian kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa harga barangan dan perkhidmatan telah pun meningkat sejurus selepas kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun lalu.
Dalam hantaran di Facebook, Muhyiddin turut menyelar kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyasaran subsidi diesel hanya menjejaskan golongan kaya dan warga asing.
Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyifatkan kenyataan Anwar sebagai tidak boleh dipercayai.
Muhyiddin mendakwa, penyasaran subsidi dilaksana kerajaan itu telah membuatkan peniaga bertindak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka.
“Anwar kata yang akan terjejas dengan penyasaran subsidi diesel hanyalah golongan maha kaya dan warga asing. Ini kerana subsidi diesel bersasar diberikan kepada kenderaan komersil tertentu untuk membendung kenaikan harga barang. Maka kononnya rakyat biasa takkan terjejas.
“Tak sampai beberapa hari subsidi diesel ditarik balik kita lihat syarikat penunda kenderaan menaikkan harga perkhidmatan mereka. Adakah golongan maha kaya saja yang kenderaan mereka rosak di tengah jalan? Kereta orang miskin tak rosak?,” katanya dalam hantaran tersebut hari ini.
Baca artikel lain: Penyasaran subsidi diesel: 10 syarikat naik harga barang dipanggil
Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mendakwa pengeluar konkrit turut menaikkan harga susulan penyasaran subsidi diesel itu.
Justeru, beliau turut menjangkakan harga rumah akan turut melonjak naik selepas ini.
“Sudah pasti harga rumah akan meningkat selepas ini. Adakah golongan maha kaya saja yang beli rumah? Orang lain tak beli rumah?,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun selaras dengan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.
Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula ‘Automatic Pricing Mechanism‘.
Perdana Menteri dilaporkan berkata penyasaran subsidi diesel itu dilaksanakan untuk memastikan diesel tidak diberi kepada golongan maha kaya dan orang asing.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

