SEBANYAK tiga nama calon untuk mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diserahkan kepada pimpinan tertinggi parti itu selewat-lewatnya minggu depan.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor memaklumkan senarai calon yang akan diserahkan itu masih dalam penelitian pihaknya.
Namun begitu, beliau berkata, tiga nama calon itu masih belum dimuktamadkan lagi.
“Kita menerima cadangan daripada pihak bawahan sebelum proses pemilihan dibuat.
“Yang pasti, ketiga-tiga calon berkenaan adalah lelaki yang terdiri daripada pimpinan parti Bersatu Gua Musang dan ahli biasa.
“Kita pilih ada yang berasal dari Nenggiri, ada juga di luar Nenggiri namun masih lagi dalam daerah Gua Musang,” katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.
Baca artikel lain: PRK DUN Nenggiri: Mohd Azizi beri laluan kepada PH-BN
Pada masa sama, Kamaruddin berkata, Bersatu Kelantan akan menonjolkan calon boleh menang dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Dalam senarai tiga calon nanti, calon muda juga akan dikemukan dan seterusnya terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.
“Kita ada masa hampir dua minggu lagi dan senarai nama ini perlu dihantar selewat-lewatnya akhir minggu depan,” katanya.
Jumaat lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri akan diadakan pada hari Sabtu, 17 Ogos manakala tarikh penamaan calon dilangsungkan pada hari Sabtu, 3 Ogos depan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, Ogos tahun lalu, Mohd Azizi Abu Naim yang bertanding tiket Pas menang dengan majoriti 810 undi apabila memperoleh 6,517 undi.
Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff yang mendapat 5,707 undi.
Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan kerusi DUN berkenaan kosong berkuat kuasa pada 19 Jun.
Kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Mohd Azizi pada 13 Jun lepas.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

