PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng dinasihatkan supaya tidak bersikap kurang ajar susulan kritikannya terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung isu sumbangan kepada institusi pendidikan.
‘Nasihat’ itu disuarakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam hantaran di Facebook.
Dr Muhamad Akmal turut mempertahankan kenyataan Fadhlina sebelum ini atas kapasiti sebagai menteri yang menjaga undang-undang telah ditetapkan.
Beliau berkata, garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung kutipan dana sekolah adalah untuk menjaga sensitiviti agama dan bangsa di negara ini.
“Saya juga nak ingatkan Lim Guan Eng dan DAP bahawa Islam adalah agama persekutuan dan majoriti penduduk adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.
“Polisi yang diwujudkan adalah untuk menjaga sensitiviti agama dan bangsa di negara ini.
Baca artikel lain: Guan Eng jangan menyibuk tugas Menteri Pendidikan – Tuan Ibrahim
“Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bercakap atas kapasiti sebagai menteri yang menjaga undang-undang telah ditetapkan dan juga beliau sebagai seorang menteri berbangsa Melayu Islam,” katanya dalam hantaran tersebut.
Sebelum ini, pentadbir institusi pendidikan di bawah KPM dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan dalam menguruskan sumbangan yang diterima daripada pihak luar.
Fadhlina berkata, pihaknya mengalu-alukan pemberian sumbangan kepada institusi pendidikan namun pada masa sama, ia mesti selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan.
Susulan itu, Guan Eng mengingatkan Fadhlina Sidek supaya tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda Umno dalam isu kutipan dana pendidikan Cina selain menegaskan beliau bukan ‘Menteri Pendidikan Pas’.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan semalam menjelaskan bahawa garis panduan sedia ada untuk kutipan dana sekolah yang termasuk larangan sebarang pameran dan promosi minuman alkohol di premis sekolah kekal.
Bagaimanapun kerajaan juga bersetuju untuk mempertimbangkan membenarkan sekolah vernakular terus menerima sumbangan melalui lembaga pentadbiran sekolah, seperti yang diamalkan sebelum ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

